
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki cedera parah selepas dipercayai diserang seekor buaya dalam kejadian di tebing Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas, Port Dickson, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, Jaafa Hasan, 62, yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), dilaporkan mengalami kecederaan serius pada kedua-dua kaki dan paha.
Menurut nelayan tempatan, kejadian berkenaan mula tular dalam kumpulan WhatsApp komuniti nelayan sejak pagi tadi.
Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang berada di tebing sungai untuk menebar jala sebelum diserang reptilia berkenaan.
Penduduk tempatan berkata, mangsa berkemungkinan tidak menyedari kehadiran buaya itu sebelum haiwan terbabit menyerangnya secara tiba-tiba.
“Mangsa dipercayai sempat bergelut dengan buaya tersebut sebelum berjaya melepaskan diri,” katanya.
Jaafa kemudiannya dikejarkan ke hospital oleh pasukan paramedik untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan berada dalam pemantauan.
Getaran difahamkan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan difahamkan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut. - Getaran, 25 Mei 2026






