
BEAUFORT: Seekor buaya dilihat berenang dalam air banjir di hadapan Sekolah Menengah (SM) St Paul di sini, Isnin lepas.
Sekolah itu terletak tidak jauh dari pekan Beaufort, tetapi paras air banjir begitu dalam sehingga buaya boleh berenang di dalamnya.
Susulan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak berjalan kaki meredah banjir kerana tidak diketahui sama ada terdapat haiwan berbahaya seperti ular atau buaya di dalamnya.
Ketua Polis Daerah Supt Wong Leong Meng semasa dihubungi berkata ia kali pertama pihak polis menerima aduan mengenai buaya di kawasan pekan.
“Saya nasihatkan orang ramai yang suka meredah banjir agar lebih berhati-hati kerana kita tidak tahu apa yang ada dalam banjir,” katanya.
Sejurus menerima aduan tersebut beliau menghubungi Jabatan Hidupan Liar Sabah, yang datang pada Selasa untuk memantau keadaan.
“Kemungkinan buaya tersebut timbul melalui celah-celah parit yang besar, justeru kami menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati,” katanya.
Minggu lepas, seekor buaya dilihat berjalan di atas jalan raya di Kg Lumat pada waktu malam. Kejadian serupa juga berlaku dua kali di Kg Mentulud.
Penduduk resah dengan kehadiran haiwan itu dan ibu bapa digesa agar tidak membiarkan anak-anak mereka keluar pada waktu malam tanpa lampu suluh.


