
BEAUFORT: Setiap keluarga mangsa banjir di sini dan di Membakut menerima bantuan kewangan kecemasan sebanyak RM1,300 daripada kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata daripada jumlah itu, RM1,000 diperuntukkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan RM300 lagi daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).
“Selain bantuan tunai, setiap keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan menerima bantuan makanan,” katanya.
Ketua Menteri berkata demikian selepas melawat PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, di sini, Selasa, yang kini menempatkan 147 keluarga yang terdiri daripada 412 mangsa.
Tujuh PPS telah dibuka sejak banjir bermula pada 7 Mac, memberikan perlindungan kepada sejumlah 1,944 orang daripada 614 keluarga di sini.
Ketua Menteri juga melawat PPS Dewan Kesenian Islam, Membakut, yang kini menempatkan kira-kira 278 keluarga yang terdiri daripada 836 mangsa.
Hajiji diiringi oleh Setiausaha Negeri Datuk Seri Safar Untong dan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Sementara itu, Hajiji memaklumkan beliau sudah mengarahkan JPS dan agensi berkaitan lainnya bagi membuat kajian bagi mengenalpasti sebarang inisiatif untuk mengurangkan risiko banjir di negeri ini.
Katanya, kajian itu meliputi semua aspek berkaitan seperti jajaran laluan sungai, tebatan banjir dan sebagainya.
“Jadi, kita berharap jika semua kajian ini dapat dilengkapkan, kita akan menyediakan peruntukan untuk pastikan aliran sungai dan juga parit-parit ini dalam keadaan yang boleh kurangkan banjir di masa akan datang,” katanya.
Hajiji berkata beliau ke kawasan terjejas untuk bertemu dengan mangsa serta melihat sendiri keadaan di sana, dengan beliau memberi jaminan kepada mangsa banjir yang kerajaan memahami kesulitan dialami mereka.
Ketua Menteri juga melawat sekitar pekan Beaufort yang masih dilanda banjir dan diberi taklimat oleh Pegawai Daerah Mohd Nazri Ajun.
Semasa lawatannya, Hajiji telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membersihkan semua saluran air, khususnya longkang, bagi mengurangkan banjir pada musim hujan ini.


