Buaya 'serah' mayat mangsa

26 May 2025 • 7:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mayat mangsa berjaya dibawa naik ke darat selepas dilepaskan dari mulut buaya di Sungai Koyah, berhampiran sebuah ladang di Kinabatangan.

image is not available
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

KINABATANGAN - Lelaki yang dilaporkan hilang selepas disambar buaya ketika menangkap ikan di Sungai Koyah, berhampiran sebuah ladang di sini pada Ahad, ditemui meninggal dunia.

Mayat Jufri Untung, 30, ditemui pada jam 1.40 tengah hari dan hanya berjaya dibawa ke darat selepas buaya tersebut melepaskan tubuh mangsa daripada mulutnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Utoh berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan bersama agensi penyelamat lain berjaya menemui mangsa.

"Mangsa ditemui kira-kira 30 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang selepas mayatnya dilepaskan buaya di tebing sungai.

**media[3141964]**

"Operasi membawa keluar mayat segera dilakukan dan hasil pemeriksaan mendapati tangan kiri mangsa hilang, dipercayai dibaham haiwan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi ditamatkan pada jam 3 petang selepas memastikan tiada ancaman lain di lokasi tersebut," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan mangsa keluar memukat ikan bersama rakannya sebelum dilaporkan hilang akibat disambar buaya.