Lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika pukat ikan

2 May 2025 • 7:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lokasi mangsa dilaporkan hilang dikhuatiri dibaham buaya di Kampung Suan Lamba, Kinabatangan.

image is not available
Operasi SAR dilakukan sebaik pasukan bomba mendapatkan maklumat lanjut berhubung kehilangan seorang lelaki ketika memukat ikan di sungai berhampiran sebuah ladang di Kampung Suan Lamba, Kinabatangan.

KINABATANGAN - Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika memukat ikan di sebuah sungai berhampiran ladang di Kampung Suan Lamba di sini, pada Khamis.

Mangsa yang berusia 30 tahun dilaporkan hilang selepas hanya selipar dan peralatan memukat miliknya ditemui di tebing sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Utoh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan sekitar jam 4 petang pada Jumaat.

**media[3109203]**

“Seramai empat anggota telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 35 kilometer dari BBP Kinabatangan.

“Menurut laporan, mangsa dikhuatiri dibaham buaya semasa memukat ikan di sungai pada jam 12 tengah hari, Khamis. Bagaimanapun, mangsa tidak pulang ke rumah, dan hanya selipar serta peralatan memukat ditemui di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pasukan bomba ke lokasi untuk mendapatkan maklumat lanjut sebelum melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan perkembangan operasi SAR akan dikemas kini dari semasa ke semasa.