Buaya tembaga jantan seberat 40 kilogram masuk perangkap

LocalEnvironment
16 Dec 2025 • 6:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Buaya dianggarkan seberat 40 kg berjaya ditangkap pada Sabtu.
image is not available
Buaya dianggarkan seberat 40 kg berjaya ditangkap pada Sabtu.

MELAKA - Seekor buaya tembaga jantan dianggarkan seberat 40 kilogram berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka selepas dua hari menerima aduan kehadiran reptilia berkenaan di kawasan pertanian di Simpang Empat, di sini.

Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kehadiran buaya berkenaan sekitar jam 3 petang Khamis lalu dan bertindak memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terbabit bagi tujuan pemantauan jarak jauh pada hari yang sama.

Menurutnya, hasil pemantauan mendapati buaya berkenaan mula dikesan sekitar jam 9 malam.

“Pada keesokan harinya, kira-kira jam 9 pagi, pihak kami telah memasang sebuah perangkap buaya di lokasi yang dikenal pasti berdasarkan hasil pemantauan.

“Pemantauan berterusan melalui CCTV mendapati buaya tersebut berlegar-legar di sekitar kawasan perangkap pada jam 8 malam sebelum memasuki perangkap berkenaan kira-kira jam 1 pagi pada Sabtu,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, sepasukan anggota Perhilitan Melaka kemudian hadir ke lokasi sekitar jam 8 pagi bagi menjalankan operasi menyelamat yang mengambil masa selama dua jam.

Ujarnya, buaya berkenaan yang mempunyai panjang keseluruhan 274 sentimeter dengan anggaran berat 40 kilogram seterusnya ditranslokasikan ke pusat rawatan sementara.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada sekiranya terserempak dengan hidupan liar serta tidak melakukan sebarang provokasi.

Sebarang aduan atau maklumat berkaitan hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web rasmi www.wildlife.gov.my.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved