PORT DICKSON - Walaupun buaya di Sungai Linggi dikatakan jarang mengganggu manusia, namun reptilia berkenaan tetap merupakan pemangsa liar yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan orang ramai.
Aktivis Pemuliharaan Marin, Noor Fadzli Shah berkata, reptilia itu boleh bertindak agresif terutama jika habitatnya diganggu, musim mengawan atau faktor makanan.
"Secara umumnya, buaya yang terdapat di Sungai Linggi adalah daripada spesies Buaya Tembaga atau Saltwater Crocodile yang juga boleh ditemui di beberapa kawasan lain di Malaysia.
"Buaya tetap buaya dan tiada istilah 'jinak'. Mungkin masyarakat setempat sudah lama melihat kehadiran buaya di Sungai Linggi sehingga menganggap ia tidak agresif, tapi hakikatnya, haiwan liar tidak boleh dijangka sepenuhnya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Justeru ujarnya, masyarakat tidak boleh terlalu selesa atau leka walaupun sebelum ini tidak berlaku serangan besar.
Kata Noor Fadzli, walaupun jumlah kes mungkin tidak terlalu tinggi, namun sudah cukup membuktikan bahawa risiko itu wujud dan perlu ditangani secara serius.
"Pada pandangan saya terdapat beberapa faktor utama yang boleh menyebabkan peningkatan risiko serangan antaranya gangguan dan perubahan habitat semula jadi akibat pembangunan.
"Selain itu aktiviti manusia yang semakin hampir dengan kawasan habitat buaya dan pembuangan sisa makanan," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) perlu mengambil pendekatan lebih agresif dan proaktif.
Ujarnya, antaranya ialah mempertingkat rondaan dan pemantauan berkala di kawasan panas serta menilai keperluan pemindahan buaya yang terlalu hampir dengan kawasan manusia.
Sebelum ini media melaporkan seorang warga emas yang sedang menjala udang di Sungai Linggi nyaris maut selepas dibaham seekor buaya dalam kejadian sekitar jam 4 pagi pada Isnin.
Jaafa Hasan, 62, dilaporkan cedera pada di kedua-dua kaki dan paha.
