liza05/10/2026 - 16:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt – Empat masalah operasi Bubbles O2 Sdn Bhd termasuk kadar penolakan produk, penyelenggaraan fasiliti, pelaporan kewangan dan akaun tertunggak menjadi tumpuan 20 pengurus serta kakitangan pengurusan syarikat menerusi Program Transformasi Produktiviti (PTP).
Bubbles O2 merupakan pengeluar air mineral beroksigen yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Halal MIEL, Pedas, Negeri Sembilan.
Program di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran kepimpinan, komunikasi, pengurusan konflik dan penyelesaian masalah secara sistematik.
Pengarah Urusan Bubbles O2 Sdn Bhd, Ain Azizah Arifin berkata pendekatan itu membolehkan pengurus dan bakal pemimpin menggunakan kemahiran yang dipelajari untuk menangani masalah operasi syarikat.
Menurutnya, pembangunan keupayaan tenaga kerja juga penting ketika syarikat berkembang dan bersedia ke arah pelaksanaan sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) serta pembuatan pintar.
“Apabila perniagaan berkembang, keupayaan tenaga kerja juga perlu berkembang. Kami mahu membina barisan pengurusan dan pelapis yang lebih bersedia untuk mengurus perubahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Empat projek fokus isu operasi
Empat projek berkenaan masing-masing memberi tumpuan kepada pengurangan kadar penolakan produk, mempercepatkan penyelenggaraan fasiliti, mempercepatkan pelaporan kewangan dan mengurangkan akaun tertunggak.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah berkata peningkatan produktiviti memerlukan tenaga kerja yang mampu mengenal pasti masalah, mencari penyelesaian dan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan.
“Teknologi boleh membantu syarikat bergerak lebih pantas, tetapi manusia menentukan sejauh mana perubahan itu berjaya,” katanya.
Menurut beliau, peserta Bubbles O2 menggunakan masalah sebenar syarikat sebagai projek penambahbaikan dan bukan sekadar mengikuti latihan berbentuk teori.
Pendekatan itu membolehkan pembangunan kemahiran pekerja dilaksanakan bersama usaha menangani isu operasi yang dikenal pasti syarikat. - DagangNews.com

