Budak 10 tahun ditemui mati selepas dilaporkan hilang Jumaat lalu

18 Aug 2024 • 4:30 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

16 Ogos 2024, Nuraina Humaira Rosli, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Kampung Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Sungai Siput, dilaporkan hilang.

Kali terakhir murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu, dilihat pada petang Jumaat ketika pergi ke kedai untuk membeli ayam.

Nuraina dikatakan telah pergi ke sebuah kedai kira-kira jam 3 petang untuk membeli ayam. Namun, dia pulang dengan tangan kosong kerana ayam di kedai tersebut telah habis.

Bapa saudaranya kemudian menyuruh Nuraina menunggu seketika sementara dia menghabiskan kerja sebelum mereka pergi ke kedai lain.

Sepanjang tempoh menunggu, Nuraina bermain buaian di kawasan tersebut, tetapi apabila bapa saudaranya keluar dari rumah, dia mendapati Nuraina sudah tiada.

Selepas dilaporkan hilang, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan bantuan unit anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung. Operasi ini meliputi radius dua kilometer dari tempat terakhir Nuraina dilihat.

Pada 17 Ogos 2024, sekitar jam 4.20 petang, mayat Nuraina ditemui dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya berhampiran perkampungan tersebut, kira-kira 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di kampung itu.

Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, sementara menunggu laporan bedah siasat.

Sumber: Astro Awani