Budak 11 Tahun, Pemegang Kad UNCHR, Pandu Kereta Ibu Sebelum Terbabas

LocalPolitics
21 Jul 2025 • 9:00 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Baru 11 tahun sudah berani memandu kereta. Padahnya? Kereta dipandu terperosok ke dalam longkang.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada jam sekitar 10 pagi, hari Sabtu, di Jalan Telok Gong, Klang, membabitkan sebuah kereta Proton Saga berwarna kelabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa, insiden tersebut mendapat perhatian selepas video kemalangan tular di media sosial, memaparkan Proton Saga dalam posisi menyenget selepas terbabas.

Susulan maklumat yang diterima, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Klang Selatan berjaya mengesan kenderaan terbabit bersama pemilik serta ketiga-tiga kanak-kanak yang berada di dalamnya sewaktu kejadian.

Siasatan awal mendapati dua beradik berkenaan adalah pemegang kad Suruhanjaya Pelarian UNHCR manakala seorang lagi sepupu mereka merupakan warga tempatan.

image is not available

Menurut siasatan, sebelum kejadian tersebut, ibu kepada dua beradik itu memandu kereta dari Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Utara Klang menuju ke rumah kakaknya di Telok Gong.

Setibanya di rumah, wanita itu yang juga pemegang kad UNHCR meninggalkan kenderaan sebentar untuk ke tandas. Peluang itu digunakan oleh anak lelakinya berusia 11 tahun yang mengambil kunci kereta dan mengajak adik serta sepupu ke kedai berdekatan.

image is not available

Bagaimanapun, ketika menghampiri kawasan kedai, kanak-kanak tersebut gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke dalam longkang di bahu jalan. Mujur, tiada kecederaan serius berlaku ke atas ketiga-tiga kanak-kanak terlibat, namun kereta mengalami kerosakan kecil pada bahagian bawah bonet hadapan sebelah kanan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) dan Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, serta Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenal pasti unsur pengabaian yang mungkin berlaku terhadap kanak-kanak terlibat.

Sumber: Astro Awani