
Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkap bilik tidur utama kediamannya di tingkat 16, Presint 9, di Putrajaya pada Selasa.
Dalam kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Putrajaya.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, maklumat kejadian diterima pihaknya daripada MERS 999 pada jam 7.50 pagi.
Menurutnya, mangsa merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan ketika kejadian mangsa ditinggalkan bersendirian kerana bapanya keluar menghantar anak sulung ke sekolah, manakala ibu keluar bekerja.
"Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap bilik tidur utama.
"Rutin harian kebiasaan mangsa akan tinggal sendirian sementara masih tidur sebelum dihantar ke taska terletak di blok bawah apartmen terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.




