Budak 8 Tahun Ditemui Tak Bermaya Dalam Tandas, Dakwa Kerap Didera Bapa Kandung & Kekasih Lebih 6 Bulan

Entertainment
18 Oct 2023 • 11:18 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pilu melihat seorang budak lelaki berusia lapan tahun yang ditemui dalam keadaan berbogel, tidak bermaya dan dikurung dalam tandas sebuah rumah flat di Taman Pulai Jaya, Skudai, Johor.

Mangsa dipercayai menjadi mangsa dera bapa kandung dan kekasih, diselamatkan oleh jiran ketika seorang warga asing datang ke rumah mangsa untuk menumpang barang basah di rumah itu sebelum memaklumkan kepada jiran tersebut.

image is not available

“Pada masa itu warga asing itu ternampak mangsa dalam keadaan bogel dan menggigil dalam bilik air.

“Melihat seperti ada yang tidak kena, warga asing tersebut memaklumkan apa yang dilihatnya kepada jiran sebelum jiran terbabit menghubungi kami,” kata Pengasas Pertubuhan Kebajikan Komuniti Johor, Caren Nantheny.

Menurutnya, budak lelaki itu menyatakan dia sudah didera lebih daripada enam bulan malah tidak tahan menanggung derita diseksa orang tuanya.

“Kita percaya berdasarkan cerita kanak-kanak terbabit, dia sudah didera lebih dari enam bulan. Sampai satu tahap dia memberitahu ibu kandungnya selepas diselamatkan, dia mengatakan sedia untuk mati kerana tidak sanggup lagi didera.

“Sebelum diselamatkan jiran berkenaan yang membuat laporan polis, dia mendakwa sering mendengar mangsa menjerit. Mangsa juga dibiarkan tidak bersekolah. Apabila ditahan polis, bapak dan kekasih saling tuduh-menuduh apabila ditanya siapa mendera kanak-kanak tersebut,” katanya.

Ibu kandung yang sudah berpisah dengan suaminya itu, dimaklumkan perkara terbabit terkejut melihat perubahan anaknya kerana sebelum ini mangsa agak berisi namun kini berat badannya hanya 29 kilogram.

Difahamkan, pasangan tersebut telah ditahan polis bagi membantu siasatan.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.