Tampar Pelajar 4 Kali, Pesara Guru Diperintah Bayar RM88,000

10 Aug 2026 • 9:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tampar Pelajar 4 Kali, Pesara Guru Diperintah Bayar RM88,000

KOTA BHARU - Seorang pesara guru diperintah membayar RM88,069 selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu mendapati beliau bersalah mencederakan seorang pelajar berusia 14 tahun dengan menamparnya empat kali ketika sesi pembelajaran di dalam kelas, tujuh tahun lalu.

Hakim Mohd Rosli Yusoff membenarkan saman sivil difailkan oleh Mohamad Adam Maidin, kini berusia 21 tahun, melalui ibunya, Noor Azleen Mohamad, 47, terhadap guru berkenaan dan tiga defendan lain.

Guru terbabit, Isamuddin Ismail, 63, yang ketika itu merupakan penolong kanan pentadbiran sekolah dan mengajar subjek sejarah sekolah menengah dinamakan sebagai defendan pertama.

Dalam penghakimannya, Mohd Rosli mendapati Isamuddin telah melakukan serangan fizikal terhadap pelajar itu dengan menampar muka dan kedua-dua pipinya menggunakan tangan kanan dan kirinya dari arah belakang.

“Mangsa ditampar dari kedua-dua belah dan mahkamah mengambil kira keterangan doktor serta beberapa ujian pendengaran dijalankan terhadap mangsa, yang membuktikan kecederaan dialaminya.

“Mahkamah juga mendapati bahawa sebagai seorang pendidik, guru mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kebajikan pelajarnya,” katanya.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi pada 28 Januari 2019, ketika Mohamad Adam merupakan pelajar Tingkatan Dua.

Adam ketika kejadian sedang duduk di mejanya bersama rakan-rakan sekelas apabila guru berkenaan menghampirinya dari belakang dan menamparnya sebanyak empat kali.

Pelajar itu kemudiannya mengalami kesakitan pada muka dan telinga, pening, masalah pendengaran serta bunyi berdengung di telinga.

Ibunya membawanya ke Klinik Kesihatan Berek 12 sebelum dia dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan pakar.

Laporan perubatan yang dikeluarkan pada Jun 2019 mendapati dia mengalami masalah pendengaran pada telinga kanan, termasuk kehilangan pendengaran campuran tahap ringan hingga sederhana yang didiagnosis sebagai kecederaan berkaitan trauma, dipercayai berpunca daripada tamparan tersebut.

Kejadian itu turut menyebabkan dia mengalami trauma dan takut untuk kembali ke sekolah, sehingga mendorong perpindahannya ke sekolah lain kira-kira sebulan kemudian.

Noor Azleen berkata, dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena ketika mengambil anaknya dari sekolah pada hari kejadian kerana Adam kelihatan pucat dan tertekan, dengan muka kemerah-merahan serta mengadu sakit kepala.

Seorang rakan sekelas kemudiannya memaklumkan, guru berkenaan telah menampar Adam dan menggesanya membawa remaja tersebut mendapatkan rawatan perubatan.

Noor Azleen berkata, anaknya mengambil masa kira-kira dua hingga tiga tahun untuk pulih daripada trauma berkenaan.

“Dia takut untuk ke sekolah, jadi saya terpaksa memindahkannya ke sekolah lain. Hanya selepas kira-kira dua hingga tiga tahun saya melihat dia beransur-ansur pulih,” katanya selepas keputusan mahkamah.

Beliau berkata, kejadian itu turut menyebabkan dirinya bimbang terhadap keselamatan kanak-kanak lain.

“Jika anak-anak memberitahu anda bahawa sesuatu telah berlaku di sekolah, ibu bapa perlu menyiasat. Bagi guru pula, jangan menggunakan kekerasan atau memukul bahagian seperti mata atau telinga kerana kesannya boleh berpanjangan dan tiada pampasan untuk itu,” katanya.

Sementara itu, peguam plaintif, Mohd Syukran Mohd Noordin, berkata mahkamah membenarkan tuntutan terhadap kesemua empat defendan selepas mendapati wujud kecuaian dan tanggungjawab berkaitan kejadian itu.

Beliau berkata, jumlah RM88,069 yang diberikan merangkumi RM45,000 sebagai ganti rugi am, RM569 ganti rugi khas, RM11,250 ganti rugi teladan dan RM11,250 ganti rugi teruk (aggravated damages), selain RM20,000 bagi faedah dan kos.

Saman sivil terbabit difailkan melalui Tetuan Syukran Noordin pada Mac 2021, kira-kira dua tahun selepas kejadian.

Pelajar berkenaan turut menamakan pengetua sekolah, Ketua Pengarah Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Kesemua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Siti Syakimah Ibrahim. - Getaran, 10 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved