JITRA – Penemuan seorang kanak-kanak perempuan autisme yang dilaporkan hilang sejak pagi Jumaat dan ditemui meninggal dunia di sebuah kolam takungan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Nagasari, Kepala Batas di sini mengejutkan penduduk setempat.
Mangsa, Mya Khadeeja Suraidi, 6, ditemukan kira-kira jam 4.50 petang sebelum mayatnya dibawa keluar oleh anggota bomba.
Menurut seorang penduduk, Muhammad Firdaus Abdullah, 19, dia sempat melihat ahli keluarga mangsa keluar mencarinya di sekitar kawasan perumahan itu.
“Saya nampak ayah dan kakak mangsa keluar mencarinya, tetapi tidak sangka dia hilang dan akhirnya ditemui dalam keadaan begitu.
“Memang sayu melihat mayat mangsa dijumpai dalam keadaan sebegitu. Dia masih kecil, saya tak dapat bayangkan perasaan keluarganya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.
Jelas Muhammad Firdaus, dia hanya menyedari kehilangan kanak-kanak tersebut selepas melihat melalui Whatsapp tamannya.
“Rumah mangsa terletak kira-kira 500 meter dari kawasan kolam takungan tersebut dan tidak pasti bagaimana mangsa boleh sampai ke situ.
“Tetapi pagar di kolam itu dilihat berlubang dan orang ramai boleh masuk melalui kawasan berhampiran surau. Difahamkan ada juga penduduk yang memancing di kawasan itu,” ujarnya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dilaporkan hilang dari kediamannya di PPR Taman Nagasari, Kepala Batas ditemui meninggal dunia di sebuah kolam takungan.
Mangsa merupakan anak autisme dilaporkan keluar dari rumah tanpa disedari keluarga kira-kira jam 8 pagi Jumaat.
