Mya Khadeeja keluar rumah melalui pintu pagar dibuka abang

LocalFamily & Parenting
10 Apr 2026 • 8:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang kanak-kanak perempuan autisme yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Nagasari, Kepala Batas di sini pada pagi Jumaat ditemui meninggal dunia di sebuah kolam takungan berhampiran.

JITRA – Seorang kanak-kanak perempuan autisme yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Nagasari, Kepala Batas di sini pada pagi Jumaat ditemui meninggal dunia di sebuah kolam takungan berhampiran.

Mangsa, Mya Khadeeja Suraidi, 6, dipercayai keluar dari rumah tanpa disedari ahli keluarga melalui pagar kediaman mereka.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati pagar rumah itu dipercayai dibuka oleh abang mangsa berusia sembilan tahun dan juga merupakan anak autisme.

Menurutnya, kehilangan mangsa disedari selepas anak sulung keluarga itu yang berusia 20 tahun memaklumkan kepada bapa mereka bahawa kanak-kanak berkenaan tiada di dalam rumah.

“Berikutan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis digerakkan ke kawasan taman perumahan berkenaan bagi membantu usaha pencarian.

“Kawasan tumpuan pencarian termasuk kolam takungan banjir, longkang besar serta kawasan berisiko di sekitar Taman Nagasari,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata, pada jam 4.10 petang, pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai lemas di dalam kolam takungan banjir berhampiran Surau Taman PPR Nagasari.

Menurutnya, pasukan Forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah yang menjalankan pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan akibat perbuatan jenayah pada tubuh mangsa.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, kehilangan Mya Khadeeja tular di media sosial selepas ahli keluarga membuat hebahan bagi mendapatkan bantuan orang ramai, sekali gus menggerakkan usaha pencarian oleh penduduk setempat.

Bagaimanapun, harapan untuk menemui mangsa dalam keadaan selamat tidak kesampaian apabila kanak-kanak tersebut dijumpai meninggal dunia dalam kolam takungan pada petang Jumaat.