PORT DICKSON – Kanak-kanak lelaki yang gambarnya tular baring di dalam sangkar anjing di sebuah rumah di Bandar Sunggala di sini sebenarnya tidak dikurung, sebaliknya hanya bermain dengan haiwan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Datuk Dr G Rajasekaran berkata, kanak-kanak terbabit telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan tiada kesan penderaan.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kanak-kanak berusia sembilan tahun itu tinggal di rumah dalam keadaan tidak terurus.
“Saya telah datang ke rumah kanak-kanak terbabit pada Isnin lalu selepas melihat gambar tular dia duduk di dalam sangkar, selain menerima aduan penduduk yang mendakwa dia terabai.
“Tetapi apabila saya melihat sendiri kanak-kanak itu, saya tidak merasakan dia dikurung, sebaliknya sekadar bermain dengan haiwan berkenaan di dalam sangkar,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, kanak-kanak tersebut tinggal bersama bapa yang dipercayai mengalami masalah mental serta datuk yang sudah uzur, manakala ibunya, warga Myanmar telah pulang ke negara asal dua tahun lalu.
Jelasnya, sebelum ini kanak-kanak itu dijaga bapa saudara dengan baik, namun mula dilihat dalam keadaan tidak terurus sejak tahun lalu.
“Sejak bapa saudara kanak-kanak itu meninggal dunia tahun lalu akibat kemalangan jalan raya, dia dijaga oleh bapa dan datuknya.
“Tetapi kedua-duanya kurang sihat dan keadaan itu mungkin menyebabkan kanak-kanak tersebut tinggal dalam keadaan tidak terurus serta terabai,” katanya.
**media[3480636]**
Tambah beliau, kanak-kanak tersebut yang dihantar ke hospital untuk pemeriksaan bukan sahaja disahkan tiada kesan penderaan, malah berada dalam keadaan sihat.
Rajasekaran berkata, kanak-kanak terbabit yang dibenarkan keluar hospital pada hari sama kini ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pemeriksaan lanjut mendapati kanak-kanak ini juga tidak pernah ke sekolah kerana difahamkan menghadapi masalah dokumentasi.
“Kita akan memberi perhatian lanjut terhadap kanak-kanak ini demi masa depannya. Saya difahamkan bapa dan datuknya juga merupakan penerima bantuan JKM,” katanya.

