Budak lapan tahun lemas ketika mandi sungai bersama rakan

24 Mar 2026 • 11:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sik untuk tindakan selanjutnya
image is not available
Lokasi mangsa dipercayai lemas. Foto polis

SIK - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemukan lemas selepas mandi bersama rakannya di Sungai Muda, Kampung Tanjung Jeneri di sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Safuan Md Noor berkata, mangsa, Muhammad Fatah Saiful ditemui di dasar sungai oleh penduduk kampung yang membuat pencarian di lokasi kejadian.

Menurutnya, polis menerima maklumat pada jam 5.41 petang selepas anggota bertugas di bilik kawalan Ibu Pejabat Polis (IPD) Sik menerima panggilan memaklumkan kejadian itu.

"Hasil temubual dengan ibu mangsa memaklumkan kanak-kanak ini keluar bermain dengan rakannya menaiki basikal dari rumah di Kampung Langguk, Mukim Jeneri pada jam 2 petang.

"Pada jam 5 petang, ibu mangsa menerima panggilan bahawa anaknya ditemui tidak sedarkan diri akibat lemas ketika mandi sungai," katanya.

**media[3471355]**

Beliau berkata, hasil temubual dengan rakan mangsa berusia 10 tahun mendapati, mereka mandi di sungai itu sekitar jam 4.30 petang.

"Bagaimanapun, mangsa dikatakan terjun ke dalam sungai dan tidak muncul-muncul," katanya.

Difahamkan, ketika kejadian, hanya mereka berdua mandi di situ.

Susulan itu, rakan mangsa berlari mendapatkan bantuan sebelum dibantu beberapa penduduk kampung yang cuba membuat pencarian.

"Mangsa dijumpai oleh salah seorang penduduk kampung yang berjaya mencapai kaki di dasar sungai sebelum menariknya ke tebing," katanya.

Safuan berkata, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan pada tubuh badan kanak-kanak itu mendapati tiada kesan cedera secara fizikal kasar dan tiada sebarang unsur khianat ditemui setakat ini.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sik untuk tindakan selanjutnya, " katanya.

Beliau berkata, kedalaman sungai ketika kejadian adalah dua meter dengan arus perlahan, tenang serta tiada hujan.

Menurutnya, sungai berkenaan bukanlah tempat riadah dan dikatakan kali pertama mangsa mandi di lokasi terbabit.

"Mangsa tidak pandai berenang dan perjalanan dari rumahnya ke tempat kejadian mengambil masa kira-kira lima minit," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.