Remaja lemas jatuh sungai

15 Mar 2026 • 10:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lokasi di mana mangsa dilaporkan terjatuh dan ditemukan lemas.

TUARAN - Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Rangalau Lama, Jalan Kiulu, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berusia 16 tahun ditemukan penduduk kampung namun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong AK Beki berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.49 petang.

Katanya, seramai tiga anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 25 kilometer dari BBP Tuaran.

"BBP Tuaran pada awalnya menerima panggilan kecemasan memaklumkan terdapat mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dan menurut maklumat rakannya, mangsa tidak timbul di sungai tersebut.

"Rakan mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian tersebut kepada orang awam yang berada di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, pasukan bomba yang tiba di lokasi kemudian dimaklumkan bahawa mangsa telah berjaya ditemui oleh orang awam.

"Mangsa dihantar ke hospital oleh pihak polis untuk rawatan lanjut namun telah disahkan meninggal dunia," katanya.