Nasib malang menimpa seorang kanak-kanak lelaki apabila seluruh badannya melecur akibat terkena renjatan elektrik. Kejadian itu dipercayai berlaku ketika dia mahu mengambil bola yang masuk di dalam bilik janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) petang semalam.
Mangsa berusia 12 tahun itu ditemui dalam keadaan mengerang kesakitan akibat kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.45 petang di Taman Sri Bayu, Bayan Lepas.
Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 4.55 petang dan operasi menyelamat membabitkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru dengan bantuan BBP Seri Balik Pulau.
Tersentuh perkakasan elektrik
Menurutnya, sebaik pasukan tiba di tempat kejadian didapati seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan melecur akibat tersentuh perkakasan elektrik di dalam bilik janakuasa berkenaan.
“Mangsa telah dibawa ke hospital oleh pihak perubatan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

“Komander Operasi membuat ‘size up’ memastikan tiada lagi kemerbahayaan sebelum menyerahkan kepada pihak TNB untuk tindakan selanjutnya.Operasi terkawal dan ditamatkan pada pukul 5.43 petang tadi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal turut mengesahkan kejadian berlaku dan berkata, kanak-kanak tersebut dilaporkan terjatuh di dalam bilik janakuasa TNB ketika masuk untuk mengambil bola.
Difahamkan, kanak-kanak lelaki tersebut sebelum itu, sedang bermain futsal bersama rakannya sebelum menyedari bola tersebut terpelanting dan masuk di dalam bilik berkenaan yang terletak berdekatan gelanggang di situ
Mangsa dipercayai memanjat pagar yang berkunci sebelum terjatuh ke dalam bilik janakuasa terbabit.
Sumber: Kosmo
The post Budak melecur seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik ketika mengambil bola di bilik janakuasa elektrik TNB appeared first on The Reporter.
