Budak perempuan melecur main bunga api meninggal dunia

9 May 2023 • 6:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian.

PENDANG - Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang badannya melecur akibat disambar api ketika bermain bunga api dan mercun pada 12 April lalu di Kampung Senara, Kubur Panjang, di sini meninggal dunia, Jumaat lalu.

Ibunya, Siti Aisyah Hasan, 33, berkata, anaknya Nur Zatil Hidayah Mohd Tarmizi meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira jam 7 malam.

Katanya, anak ketiga daripada empat beradik itu, sebelum ini menerima rawatan selama 26 hari di hospital terbabit selepas kejadian malang berkenaan menimpanya.

"Saya agak terkilan kerana anak tidak sempat memakai baju raya yang dia teringin sangat nak pakai.

"Kelengkapan raya semua dah siap, kasut raya, beg raya tapi dia tak sempat pakai," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Ujarnya, walaupun sedih dengan kehilangan anaknya itu tetapi mereka sekeluarga reda dengan ketentuan ALLAH SWT.

Bercerita lanjut saat- saat akhir anak perempuan tunggalnya, Siti Aisyah berkata, anaknya menghembuskan nafas terakhir apabila kesihatan kembali merosot selepas mulai sedar dua hari sebelum itu.

"Pada petang Jumaat semasa berada di wad biasa dia mula tidak sedarkan diri dan doktor cuba sedaya-upaya memberi rawatan kepadanya.

"Kira-kira jam 7 malam doktor panggil waris untuk berjumpa dan kami dimaklumkan Nur Zatil Hidayah sudah meninggal dunia kerana serangan kuman pada organ dalamannya," katanya.

Jenazah Nur Zatil Hidayah dikebumikan Sabtu lalu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Senara sebaik sahaja selesai proses bedah siasat di HSB.

Pada 14 April lalu, Sinar Harian melaporkan Nur Zatil Hidayah melecur kira-kira 46 peratus pada anggota badannya dipercayai akibat disambar api ketika bermain bunga api dan mercun bersama dua abangnya berusia tujuh dan 10 tahun di hadapan rumah mereka.

Ibu bapa kanak-kanak malang itu berada dalam rumah ketika kejadian dan berlari keluar selepas mendengar jeritan mangsa sebelum mendapati dua anak lelaki mereka sedang memadam api yang membakar tubuh mangsa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved