
KUALA LUMPUR - Pengusaha pelancongan di Langkawi, Kedah mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap isu alam sekitar yang semakin meruncing, susulan kematian seorang kanak-kanak lelaki warga Rusia berusia dua tahun akibat komplikasi sengatan obor-obor kotak di Pantai Cenang minggu lalu.
Kanak-kanak itu dilaporkan bermain di gigi air ketika bercuti bersama keluarganya sebelum disengat dan meninggal dunia tiga hari kemudian, akibat bisa berbahaya spesies tersebut.
Kes tragis itu berlaku ketika hampir 100 kes sengatan obor-obor direkodkan di Pantai Cenang dan Pantai Tengah dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Bekas pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah, Ahmad Pishol Isahak berkata, kejadian itu seharusnya menjadi peringatan keras bahawa insiden sebegini boleh menjejaskan reputasi Langkawi sebagai destinasi selamat dan mesra keluarga.
“Kita tidak mahu lagi melihat gambar keluarga meratapi kematian akibat sengatan obor-obor. Ia mencemarkan imej baik yang telah lama dibina,” katanya.
Tegas beliau, usaha memelihara alam sekitar Langkawi perlu dipikul bersama oleh agensi kerajaan, pengusaha pelancongan dan orang awam.
Ahmad Pishol turut menggesa pihak berkuasa tempatan melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem pembetungan di kawasan pelancongan, susulan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku kebocoran atau pembuangan sisa pepejal secara sembarangan ke laut, kerana ia antara faktor yang boleh mempercepatkan pembiakan obor-obor.
Kebimbangan itu turut disokong pengusaha resort dan ahli industri hospitaliti berpengalaman, Anthony Wong Kim Fei, yang berkata, pembuangan sisa kumbahan pada masa lalu mungkin telah mewujudkan keadaan yang mendorong pembiakan obor-obor.
Jelasnya, obor-obor mudah membiak di perairan tercemar yang kaya dengan sisa alga, selain turut dipengaruhi pergerakan arus.
“Spesies obor-obor tempatan biasanya tidak membawa maut. Obor-obor kotak berasal dari Australia dan berkemungkinan memasuki ekosistem laut kita melalui kapal persiaran,” katanya.
Wong, yang sejak sekian lama memperjuangkan standard hotel hijau ASEAN di Malaysia, turut menegaskan bahawa masalah hakisan pantai masih belum ditangani sepenuhnya.
Beliau mencadangkan penggunaan struktur berasaskan alam semula jadi seperti benteng kayu bagi mengukuhkan kawasan pantai yang terdedah.
Dalam pada itu, bekas pengerusi Malaysian Nature Society (MNS) Kedah, Eric R. Sinnaya pula berkata, situasi ini menuntut audit komprehensif terhadap sistem pembetungan di premis pelancongan.
Beliau menegaskan kepentingan pematuhan ketat terhadap standard pelepasan sisa, selain menggalakkan pengusaha mengamalkan kaedah rawatan sisa mesra alam.
Kematian kanak-kanak itu telah meningkatkan tekanan terhadap pihak berkuasa dan industri pelancongan untuk bertindak segera, memandangkan kesihatan alam sekitar Langkawi semakin kritikal. - Getaran, 21 November 2025


