Budak sembilan tahun dibiar tinggal dalam stor, hanya makan dua kali sehari

LocalFamily & Parenting
8 Jun 2026 • 9:11 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Budak sembilan tahun dibiar tinggal dalam stor, hanya makan dua kali sehari
Polis menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahunselepas dipercayai menjadi mangsa pengabaian ibu angkatnya. Gambar hiasan
Image from: Budak sembilan tahun dibiar tinggal dalam stor, hanya makan dua kali sehari
Mohd Yatim

SEREMBAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun bukan saja dibiar tinggal di dalam stor di belakang rumahnya, malah hanya diberi makan dua kali sehari.

Bagaimanapun episod malangnya berakhir apabila diselamatkan polis di sebuah rumah di Taman Tuanku Jaafar di sini malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes pengabaian seorang kanak-kanak perempuan pada jam 7.22 malam.

"Polis menerima maklumat bahawa mangsa dipercayai telah dikurung di dalam stor di belakang rumahnya.

"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa merupakan anak angkat kepada sebuah keluarga sejak berusia setahun lapan bulan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

**media[3543629]**

Menurutnya, sepanjang cuti sekolah pada Mei hingga Jun, mangsa dibiar tinggal di dalam stor terbabit yang tidak berkunci, malah hanya diberikan makan dua kali sehari.

Katanya, mangsa hanya dibenarkan masuk ke dalam rumah untuk pergi ke tandas sahaja dan perlu kembali ke stor setelah selesai.

"Mangsa juga sering dimarahi dan dipukul oleh suspek yang merupakan ibu angkatnya disebabkan hal-hal kecil seperti curi makanan di waktu malam.

"Susulan itu polis telah menyelamatkan mangsa dan telah menghantarnya ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan ringan termasuk calar pada bahu dan pipi kanan.

Berikutan itu ujarnya, seorang wanita berusia 46 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tambahnya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Seremban pada Isnin untuk siasatan lanjut.

"Masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Zulfitri Abd Razak di talian 06-6033222," katanya.