Budak setahun lemas jatuh sungai, ibu sangka ke rumah datuk

27 Jun 2024 • 1:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lokasi kanak-kanak perempuan Orang Asli ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri. Foto ihsan PDRM

image is not available
Lokasi kanak-kanak perempuan Orang Asli dipercayai terjatuh di Sungai Jelai dekat Kampung Simoi Lama dekat Pos Lenjang, Kuala Lipis pada Rabu. Foto ihsan PDRM

LIPIS - Seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli di Kampung Simoi Lama dekat Pos Lenjang di sini ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Jelai pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, mangsa, Carissa Laura Arthini Jasni berusia setahun 10 bulan ditemui 30 meter dari lokasi kejadian oleh penduduk kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri, kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, sebelum itu, pihak polis menerima panggilan daripada petugas Klinik Kesihatan Pos Betau mengenai kematian seorang kanak-kanak kira-kira jam 4.55 petang.

"Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dipercayai telah pergi ke sungai yang jaraknya kira-kira 100 meter dari rumah dan terjatuh ke dalam sungai tersebut lalu hanyut sebelum ditemui seorang penduduk kampung.

"Ibu mangsa beranggapan anaknya pergi rumah datuknya di belakang rumah dalam jarak 20 hingga 30 meter," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar beliau, mayat mangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk tindakan lanjut dan hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak terbabit meninggal dunia akibat lemas.

"Kita memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di talian 09-3121999 atau balai polis berhampiran," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!