Budi Diesel kurangkan ketirisan hingga 1 bilion liter

LocalPolitics
24 Jun 2026 • 4:05 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Budi Diesel kurangkan ketirisan hingga 1 bilion liter

Kota Kinabalu: Pelaksanaan program Budi Madani Diesel (Budi Diesel) yang menggunakan MyKad sebagai kaedah pengesahan dijangka dapat mengurangkan ketirisan sehingga satu bilion liter setahun, selain membolehkan rakyat Malaysia yang layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter bermula 1 Julai.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sebelum ini subsidi diesel dinikmati secara terbuka tanpa sebarang pengesahan identiti pengguna.

“Menerusi Budi Diesel, subsidi hanya akan diberikan kepada rakyat Malaysia yang layak melalui pengesahan MyKad.

“Penjimatan hasil penutupan ruang ketirisan dan pembanterasan penyeludupan membolehkan Kerajaan Madani menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter bagi rakyat Malaysia yang layak,” katanya pada sidang media selepas taklimat mengenai reformasi subsidi diesel di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Selasa.

Harga baharu itu lebih rendah berbanding kadar subsidi semasa RM2.15 seliter yang digunakan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Amir Hamzah berkata penggunaan MyKad sebagai kaedah pengesahan merupakan langkah perlindungan penting kerana ia mengehadkan akses hanya kepada warganegara.

“Jika anda bukan warganegara, anda tidak boleh menggunakannya. Anda perlu membeli pada harga apungan,” katanya.

“Itu adalah kriteria penting bagi memastikan risiko ketirisan dapat dikurangkan.”Beliau berkata kerajaan menyasarkan pengurangan ketirisan diesel sebanyak satu bilion liter setahun di seluruh negara sekali gus membantu menstabilkan bekalan bahan api domestik.

Di bawah skim itu, setiap individu yang layak menerima kuota asas bulanan sebanyak 200 liter yang meliputi pembelian petrol RON95 dan diesel.

Menurutnya, data kerajaan menunjukkan hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan, sekali gus menjadikan kuota asas itu mencukupi bagi kebanyakan penerima yang layak.

Bagi Sabah, Sarawak dan Labuan yang mempunyai penggunaan kenderaan pikap dan pacuan empat roda lebih tinggi, pemilik kenderaan dalam kategori itu boleh memohon tambahan kuota 100 liter sebulan menerusi portal rasmi Budi Madani di www.budimadani.gov.my atau di mana-mana pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), menjadikan jumlah kelayakan mereka meningkat kepada 300 liter.

Dianggarkan kira-kira 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.

Amir Hamzah berkata pendaftaran di bawah Budi Diesel adalah automatik bagi pemilik kenderaan persendirian kerana ia menggunakan sistem yang sama seperti Budi 95 yang diperkenalkan pada Oktober tahun lalu, di mana rakyat tidak perlu membuat pendaftaran berasingan.

“Rakyat tidak perlu mendaftar. Selagi mereka mempunyai kad pengenalan, mereka sudah didaftarkan dalam sistem kami dan boleh menggunakan kemudahan itu di pam minyak.

“Apabila anda datang, masukkan kad pengenalan dan kelayakan anda akan disahkan secara automatik,” katanya selepas turut melawat sebuah stesen minyak di Jalan Tuaran Bypass, Manggatal.

Bagaimanapun, mereka yang ingin mendapatkan tambahan kuota 100 liter perlu membuat permohonan secara berasingan melalui portal atau mendapatkan bantuan di pejabat LHDN.

Mengulas kebimbangan mengenai capaian kepada komuniti di kawasan pedalaman Sabah, beliau berkata pelaksanaan Budi 95 di seluruh negara sebelum ini telah dilaksanakan secara seragam di Sabah dan Sarawak tanpa sebarang perbezaan, dan pendekatan sama akan digunakan dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel.

Bagi kumpulan pengguna lain seperti pengusaha bot sungai, pengguna set janakuasa (genset) di kawasan luar bandar dan golongan lain yang bergantung kepada diesel untuk mata pencarian harian, beliau berkata kerajaan sedang memuktamadkan mekanisme khusus bagi memastikan mereka terus menerima bantuan sewajarnya.

Khusus di Sabah, Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Industri Getah Sabah dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah bagi memuktamadkan data penerima yang layak.

Bagi pekebun kecil dan petani di bawah komponen Budi Agri-Komoditi, beliau berkata penerima yang layak akan menerima bantuan tunai dan bukannya kuota bahan api kerana kerajaan tidak mempunyai data pendaftaran sedia ada bagi petani dan pekebun secara individu.

Pendaftaran sedang dilaksanakan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta kerajaan negeri berdasarkan beberapa kriteria termasuk keluasan ladang.

“Matlamat keseluruhannya ialah memberi subsidi bersasar, bermaksud kita menyasarkan pemain kecil untuk menerima bantuan.

“Apabila anda merupakan estet besar seperti Felda atau IOI, anda tidak memerlukan diesel bersubsidi. Subsidi diesel adalah untuk rakyat dan pekebun kecil,” katanya.

Setiap pekebun kecil yang layak akan menerima bantuan tunai RM200 sebulan, dengan tambahan RM200 dalam tempoh harga minyak yang masih tinggi ketika ini, menjadikan jumlah keseluruhan RM400 sebulan yang boleh digunakan untuk membeli diesel pada harga tanpa subsidi.

Tiada kuota bahan api diberikan di bawah komponen ini.

Amir Hamzah berkata skim itu akan sentiasa dikaji semula dan ditambah baik berdasarkan maklum balas yang diterima, sambil merujuk kepada sistem kuota Budi 95 yang telah disesuaikan selepas pelancarannya bagi memenuhi keperluan pemandu e-hailing yang mempunyai jarak perjalanan tinggi melalui penyelarasan kuota tambahan berdasarkan data perjalanan yang disahkan oleh platform e-hailing menerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan.

“Apabila kami menerima sebarang maklum balas, kami akan membuat penambahbaikan dalam proses itu.

“Itu adalah amalan biasa bagi semua projek kerajaan,” katanya.

Beliau berkata penjimatan hasil pengurangan ketirisan akan dikembalikan kepada pengguna dalam bentuk harga yang lebih rendah, dengan penurunan harga daripada RM2.15 kepada RM2.10 sebagai contoh.

“Jika kita tidak melindungi subsidi dan membiarkannya disalahgunakan, rakyat akan rugi kerana kita tidak mempunyai ruang kewangan untuk menurunkan harga,” katanya.

Beliau turut menyifatkan laporan orang ramai mengenai kenderaan berdaftar asing yang mengisi petrol RON95 sebagai petanda bahawa rakyat Malaysia semakin mengambil tanggungjawab melindungi hak mereka terhadap subsidi bahan api.

“Saya amat gembira kerana banyak laporan diterima daripada orang ramai yang bertanya mengapa kereta berdaftar Singapura boleh mengisi RON95.

“Ini bermakna rakyat kita berkata tidak, ini hak kita. Apabila mereka melindungi hak kita, negara mempunyai lebih banyak ruang untuk menjaga kebajikan rakyat dengan lebih baik,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved