BUDI95: Pengguna puas hati, proses pengesahan identiti ambil masa singkat

LocalPolitics
30 Sep 2025 • 7:39 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 30 SEPT: Proses pelaksanaan subsidi bersasar RON95 berjalan lancar dengan pengguna hanya mengambil masa singkat untuk proses pengesahan identiti dan pengisian petrol.

Beberapa individu yang ditemui Media Selangor di stesen minyak Seksyen 7, Shah Alam memaklumkan penerangan kaedah penebusan subsidi program Budi MADANI RON95 (BUDI95) di media sosial juga banyak memudahkan pengguna.

Pelajar Management and Science University (MSU), Nurul Syafiqah, 26, berkata proses pengisian petrol amat mudah dan hanya mengambil masa singkat

image is not available
Nurul Syafiqah

“Segalanya berjalan lancar, tiada masalah setakat ini kerana saya merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Transaksi yang dilakukan mengambil masa beberapa minit sahaja untuk diselesaikan.

“Media sosial menerangkan langkah pembayaran, namun pekerja pam di stesen minyak ini banyak membantu saya memahaminya dengan lebih jelas,” katanya.

image is not available
Mohd Haziq Redhuan

Penyelia sebuah syarikat tempatan, Mohd Haziq Redhuan, 33, berpendapat perubahan yang dilakukan kerajaan adalah penting kerana ia melindungi hak kelayakan subsidi warganegara.

“Cara pembayaran sebelum ini lebih mudah, tetapi saya rasa perubahan ini penting kerana ia melindungi hak kelayakan subsidi untuk warganegara.”

“Saya juga tidak menganggap penambahan prosedur bayaran sebagai isu yang rumit. Sebelum ini pun kita ada didedahkan cara untuk isi petrol subsidi. Prosesnya lancar seperti hari-hari sebelum ini,” katanya.

image is not available
Raymond Chan

Bagi perunding hartanah, Raymond Chan, 57, beliau berpuas hati dengan pelaksanaan sistem yang efisien, namun mencadangkan kerajaan menambah baik kaedah transaksi.

“Semuanya berjalan lancar dan orang ramai tidak perlu risau, tetapi untuk masa depan, kerajaan perlu memikirkan satu kaedah transaksi yang menghubungkan terus kepada aplikasi,” katanya.

image is not available
Fendy Ismail

Sementara itu, pekerja e-panggilan, Fendy Ismail, 33, berkata sistem BUDI95 beroperasi secara teratur, selain turut dibantu petugas di stesen minyak.

“Proses berjalan dengan baik dan urusan di kaunter juga mudah. Keadaan pada hari pertama tidak terlalu sesak.

“Kaedah pembayaran tidak banyak berbeza, cuma kini kita perlu menggunakan kad pengenalan. Pekerja stesen minyak banyak membantu saya memahami proses transaksi baharu ini dan saya berharap keadaan terus kekal baik," katanya.

Skim BUDI95 dilaksanakan bermula hari ini, dengan menetapkan harga RON95 pada RM1.99 seliter bagi semua warganegara Malaysia yang layak.

Langkah ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan subsidi disalurkan dengan lebih adil dan berkesan kepada golongan yang selayaknya.