
Bermula semalam, kelayakan asas Budi Madani RON95 (Budi95) telah kembali kepada 300 liter sebulan berbanding 200 liter bagi tempoh sama sebelum ini.
Pengembalian kuota subsidi selepas lima bulan itu satu kelegaan kepada mereka yang menggunakan petrol melebihi 200 liter sebulan. Belum cukup kitaran 30 hari, kuota Budi95 tinggal sifar.
Golongan ini merangkumi individu yang bergantung dengan kenderaan persendirian untuk urusan seharian, tinggal di kawasan jauh dari tempat bekerja dan pelajar. Kesemua mereka mampu menarik nafas lega.
Bagi golongan memerlukan termasuk pasangan perkahwinan jarak jauh (PJJ), Budi95 300 liter sebulan memberi makna besar. Wang yang sebelum ini digunakan untuk menampung kos bahan bakar dapat digunakan bagi keperluan lain termasuk bil harian.
Langkah ini memberi ruang kepada rakyat untuk berjimat sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Mungkin 300 liter ini tidak mampu menampung keperluan sesetengah pihak, namun sedikit sebanyak membantu kos yang perlu ditanggung apabila keperluan petrol bulanan ditampung kuota subsidi lebih besar.
Jika tidak, apabila kuota habis sebelum kitaran bulanan berakhir mereka terpaksa membeli petrol pada harga tanpa subsidi. RON95 tanpa subsidi RM3.82 seliter minggu ini.
Situasi ini menyebabkan ada antaranya ‘meminjam’ Budi95 daripada pasangan atau anak dan mengehadkan perjalanan bersiar-siar atau pulang ke kampung.
Pada 26 Mac lalu kerajaan mengumumkan penyelarasan kelayakan Budi95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan. Pelaksanaannya bermula 1 April lalu susulan konflik di Asia Barat.
Pelaksanaan Budi95 dilaksanakan secara berfasa bermula 27 September tahun lalu dimulakan dengan kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah pada 28 September. Dua hari kemudian, semua rakyat yang layak boleh menikmati Budi95 pada harga RM1.99 seliter.
Selain Budi95 yang akan dinikmati lebih 16 juta pengguna, lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel layak menerima Budi Diesel sehingga 400 liter sebulan.
Lain orang lain keperluan, mungkin ada yang tidak cukup Budi95 300 liter dan Budi Diesel 400 liter, namun terdapat pihak mendakwa kuota petrol mereka berlebihan.
Adakah satu kemungkinan jika kuota subsidi yang tidak habis untuk bulan tersebut dibawa ke bulan seterusnya. Orang kata ‘carry forward’, mungkin bulan depan memerlukan lebih banyak kilometer.
Pendekatan ini mungkin memberi makna besar kepada pihak yang merancang percutian atau pulang ke kampung halaman. Bagaimanapun memerlukan penelitian berat.
Suka diingatkan kuota 300 liter ini perlu disusuli dengan sifat tanggungjawab semua pihak memastikan tiada yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjual kepada pihak ketiga atau warga asing.
Sebelum berakhir, mohon semua doakan keselamatan buat kesemua mangsa termasuk 95 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi dalam kejadian banjir lumpur di sempadan Tibet – Nepal minggu lalu. Kita doakan mereka dijumpai dengan selamat.
The post Budi95: Tinggal 1%, tidak perlu lagi bayar mahal appeared first on Kosmo Digital.






