
KUALA LUMPUR – Kasih seorang ayah tidak selalu lahir daripada pertalian darah. Kadangkala, ia hadir melalui keikhlasan, pengorbanan dan tanggungjawab yang dipikul tanpa pernah meminta balasan. Itulah gambaran yang membuatkan ramai netizen tersentuh apabila sebuah video memaparkan peranan seorang bapa tiri tular di media sosial, mengingatkan bahawa cinta sejati seorang ayah diukur melalui perbuatan, bukan status.
Tular di TikTok, satu perkongsian menyentuh hati oleh pengguna @nuryasya apabila memuat naik sebuah video memaparkan detik seorang kanak-kanak perempuan yang baru melangkah ke Tahun 1 ditemani oleh bapa tirinya.
Menerusi kapsyen yang disertakan, pemilik video meluahkan rasa syukur dan terima kasih buat insan bergelar bapa tiri yang sanggup menguruskan segala keperluan anak-anak sejak dari tadika hingga ke alam sekolah rendah.
“Terima kasih baba urus anak-anak dari tadika sampai sekolah rendah
Walaupun bukan anak kandung, tapi baba yang settle semua pasal anak-anak
Tak pernah berkira dan tak pilih kasih dengan anak-anak
”
Dalam video berkenaan, jelas kelihatan lelaki tersebut begitu mengambil berat, menemani dan memastikan anak kecil itu dapat menyesuaikan diri dengan suasana baharu di sekolah. Sikap prihatin dan kasih sayang yang ditunjukkan nyata menyentuh hati ramai yang menonton.
Kisah Bapa Tiri Cetus Perkongsian Netizen
Ruangan komen turut dibanjiri luahan netizen yang berkongsi pengalaman hampir sama, rata-ratanya meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan bapa tiri yang bertanggungjawab dan penyayang.
Seorang pengguna, @BUYA BEAUTY, berkongsi kisah hidupnya yang dibesarkan oleh ayah tiri sejak kecil sehingga berjaya melanjutkan pelajaran.
“Xpe dik, kak pun gini. Semua ayah tiri urus dari tadika sampai habis sekolah. G belajar MARA pun ayah hantar dulu ke kelas baru pergi kerja. Kak doa adik jadi orang bijak dan berjaya satu hari nanti. Nanti berjaya balas jasa dia tau,” tulisnya.
Komen tersebut dibalas oleh pemilik video, @nuryasya, yang turut menzahirkan rasa terharu serta mendoakan kebahagiaan buat mereka sekeluarga.
“Ya Allah kak Buya
terima kasih kak atas doa-doa
semoga kak Buya sekeluarga berbahagia hingga ke jannah.”
Namun begitu, ada juga netizen yang meluahkan rasa pilu mengenangkan hakikat bahawa walau sebesar mana pengorbanan seorang bapa tiri, tetap ada batas yang tidak dapat dilalui.
“Sedihkan… dia uruskan segala-galanya, tapi dia tak dapat jadi wali,” komen seorang pengguna, yang turut dipersetujui oleh @nuryasya.
Perkongsian menyentuh hati itu turut membuka ruang buat netizen lain berkongsi kisah hidup masing-masing.
Seorang pengguna, @sierra., memaklumkan dirinya bersama adik-beradik dibesarkan oleh bapa tiri sehingga salah seorang berjaya menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
“Saya dan adik-adik saya ditanggung bapa tiri sampai yang nombor dua sambung degree. Tak pernah berkira walaupun kami anak tiri. Saya nak masuk anak tiga pun dia masih tolong. Kami adik-beradik bersyukur dapat bapa tiri yang terbaik,” tulisnya.
Seorang lagi netizen, @tqhhhhxx, pula berkongsi pengalaman apabila kasih sayang bapa tiri dirasakan jauh lebih mendalam berbanding ayah kandung sendiri.
“Saya dibesarkan abah tiri. Bila saya dah besar baru jumpa abah kandung sebab dah cerai dengan mak. Tapi saya boleh cakap, abah tiri saya jauh lebih ambil berat walaupun dia tak tunjuk. Kasih sayang tu tetap ada,” luahnya sambil mendoakan kesejahteraan bapa tirinya.
Tidak kurang juga kisah daripada @Fatihah. yang mendedahkan bapa tirinya sentiasa menghulurkan bantuan walaupun ayah kandung langsung tidak mengambil peduli.
“Saya sambung study, ayah tiri saya selalu hulur belanja. Bapak sendiri tak pernah ambil tahu. Sekarang saya berpantang anak nombor dua pun langsung tak jenguk. Alhamdulillah bapak tiri saya jugak yang datang jenguk,” katanya.
Perkongsian ini sekali lagi membuktikan bahawa kasih sayang seorang ayah tidak diukur melalui pertalian darah semata-mata, sebaliknya lahir daripada keikhlasan, pengorbanan dan tanggungjawab yang dipikul dengan penuh rasa cinta. – The Malaysian Update
The post Bukan Ayah Kandung, Tapi Dialah Segalanya – Video Bapa Tiri Hantar Anak Masuk Tahun 1 Buat Ramai Sebak appeared first on The Malaysian Update.




