
Bukan Bisul Biasa, Ini Tanda “Carbuncle” Yang Perlu Anda Waspada
Ketulan bernanah pada kulit sering kali dianggap sebagai bisul yang tidak membimbangkan.
Dalam istilah saintifik, ia digelar sebagai abses dan ramai beranggapan semua ketulan nanah adalah sama.
Namun begitu, tidak semua ketulan bernanah adalah sama.
Kekurangan pengetahuan ini menyebabkan ramai mengambil tindakan sendiri, termasuk memicit atau mengeluarkan nanah tanpa pemeriksaan perubatan yang sewajarnya.
Oleh itu, SK ingin kongsikan perbezaan abses dan carbuncle serta bahayanya daripada Public Health Malaysia agar anda lebih berwaspada.
Perbezaan abses dan carbuncle
“Bisul biasa je kot.”
Ramai orang fikir semua ketulan bernanah pada kulit itu sama. Sebenarnya tidak. Ada yang cuma bisul kecil.
Ada yang sebenarnya abses. Dan ada juga yang lebih besar, lebih dalam, lebih sakit, iaitu carbuncle.
Carbuncle ialah sekumpulan bisul yang bercantum menjadi satu kawasan jangkitan yang lebih besar.
Ia biasanya muncul sebagai benjolan merah, bengkak, panas, sangat sakit, dan mempunyai beberapa “mata” atau lubang kecil tempat nanah keluar.
Selalunya ia muncul di belakang leher, belakang badan, punggung atau paha.
Bisul pula biasanya lebih kecil dan melibatkan satu folikel rambut sahaja. Ia nampak seperti benjolan merah yang kemudian berisi nanah.
Abses pula ialah pengumpulan nanah dalam tisu badan. Ia boleh berlaku di kulit atau di bahagian lain, dan tidak semestinya bermula daripada folikel rambut.
Maksudnya, carbuncle ialah jangkitan kulit yang lebih khusus, manakala abses ialah istilah yang lebih umum.

Bahaya carbuncle
Kenapa carbuncle perlu diberi perhatian? Sebab ia selalunya lebih dalam, lebih luas, lebih menyakitkan, dan kadang-kadang datang bersama demam, badan lemah, atau jangkitan yang lebih serius.
Ada pesakit yang akhirnya perlu dibedah kecil untuk mengeluarkan nanah.
Golongan yang lebih berisiko termasuk mereka yang ada diabetes, obesiti, daya tahan badan lemah, kebersihan kulit kurang baik, atau selalu mengalami geseran dan peluh berlebihan pada kawasan tertentu.
Sebab itu bila seseorang kerap naik bisul atau dapat carbuncle, doktor kadang-kadang akan semak juga paras gula dalam darah.
Antara tanda yang perlu cepat dapatkan rawatan ialah benjolan makin besar, sakit makin teruk, keluar banyak nanah, kulit sekeliling jadi merah luas, demam, atau kawasan itu berada dekat muka, tulang belakang, punggung atau kemaluan.

Jangan picit sendiri. Jangan korek. Jangan tunggu pecah sendiri kalau ia makin besar dan sakit.
Rawatan bergantung pada keadaan. Ada yang cukup dengan ubat dan penjagaan luka. Ada yang perlu antibiotik.
Ada yang perlu prosedur membuang nanah. Lagi awal diperiksa, lagi rendah risiko jangkitan merebak dan luka jadi lebih teruk.
Jadi kalau anda nampak “bisul” yang luar biasa besar, banyak lubang, sakit berdenyut-denyut, atau berulang-ulang, jangan anggap itu sekadar bisul biasa. Mungkin itu carbuncle.
Baca juga: