
SIAPA sangka dalam keghairahan dunia mengejar trend fesyen 'fast fashion', masih ada ruang
buat seni kraf tradisional untuk kembali bernafas dan mendominasi gaya hidup moden.
Baru- baru ini, Malaysian Craft Council (MCC) membuktikan magis tersebut menerusi penganjuran
The Textile Project Soirée yang bukan sekadar majlis sosial biasa, malah menjadi simbolik kepada keberhasilan menyelamatkan khazanah negara yang hampir pupus.

The Textile Project yang bermula pada tahun 2024 hadir sebagai 'talian hayat' buat seni tenunan songket Kelantan dan sulaman Kelingkan yang sebelum ini berada di fasa kritikal.
Bayangkan, kehalusan seni yang menjadi identiti bangsa ini dahulunya hanya bergantung kepada seorang sahaja guru mahir yang masih aktif, meletakkan warisan ini di ambang kepupusan jika
tiada usaha pelapis dilakukan secara serius.

Namun hari ini, wajah-wajah baharu mula mewarnai industri apabila MCC berjaya melatih seramai 20 penenun Songket dan 20 artisan Kelingkan yang kini sedia meneruskan legasi tersebut dengan penuh bangga.
Menariknya, usaha ini tidak hanya terhad di bengkel-bengkel kraf biasa, malah melangkaui tembok besi
menerusi kolaborasi bersama Penjara Pengkalan Chepa. Seramai 40 penghuni penjara turut diberikan peluang kedua dengan latihan kemahiran dalam kedua-dua bidang seni tekstil ini, sekali gus memberikan mereka 'senjata' masa depan untuk berbakti semula kepada masyarakat.

Menurut Presiden Pengasas MCC, Nik Faiz Nik Amin, inisiatif itu bukan sekadar tentang pemeliharaan warisan semata-mata, tetapi ia adalah tentang maruah, pemberdayaan dan peluang ekonomi terutama bagi komuniti B40 dan
golongan ibu tunggal yang kini melihat kraf sebagai sumber pendapatan mampan.
Visi MCC dalam memartabatkan tekstil tradisional ini turut diperkukuh dengan penubuhan The Textile
Lab di Kota Bharu dengan sokongan penuh daripada Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga &
Wanita Negeri Kelantan (UKEKWA).
Hab ini bakal menjadi pusat inovasi dan pengeluaran yang
menghubungkan artisan terus ke pasaran melalui cabang perniagaan MCC, Ruzzgahara.
Dengan
transformasi daripada sekadar pembuat kepada usahawan kreatif, hasil seni ini kini mampu berdiri sama
tinggi dengan produk gaya hidup premium yang lain di peringkat global.Majlis penuh prestij tersebut turut diserikan dengan keberangkatan YBM Tengku Temenggong Kelantan
dan YM Tengku Puan Temenggong Kelantan, selain dihadiri oleh delegasi antarabangsa termasuk Duta Besar Jepun dan Jerman ke Malaysia. Kehadiran tokoh-tokoh penting ini menjadi bukti betapa seni warisan tempatan kita mempunyai nilai diplomasi budaya yang tinggi dan daya tarikan yang melangkaui
sempadan.

Dengan kerjasama erat agensi seperti Yayasan Hasanah dan MOTAC, industri tekstil warisan
Malaysia kini melangkah ke fasa baharu, lebih segar, lebih relevan dan pastinya lebih berjiwa.


![Talk to My Manager 2 [LIVE] – Markah Keputusan Minggu 8](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://ecentral.my/wp-content/uploads/2026/04/talk-to-my-manager-2-3-1024x683.jpg)

