
PETALING JAYA – Dakwaan seorang lelaki warga emas cuba menyamun di sebuah stesen minyak di Jalan Ahmad Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang yang tular baru-baru merupakan kejadian salah faham yang mana individu terbabit hanya tersalah memasuki kereta.
Menjernihkan salah faham itu, anak kepada warga emas terbabit dikenali sebagai @njihahrim di aplikasi Threads berkata, ayahnya tidak berniat untuk menyamun, sebaliknya hanya tersalah masuk kereta memandangkan turut memandu kereta sama dengan wanita terbabit.
“Salam, saya anak kepada lelaki yang diviralkan kononya ‘samun’ kereta. Untuk makluman semua, pada hari kejadian ayah saya dalam perjalanan untuk menghantar kereta sewa kepada pemilik.
“Dia berhenti sekejap untuk mengisi minyak kereta dan tersalah masuk kereta kerana kereta yang disewa juga Alza, cuma nombor pendaftaran lain.
“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang viral cuma menunjukkan separuh sahaja dan bukannya keseluruhan hingga dia ke kereta yang disewa,” katanya.
Difahamkan, lelaki warga emas itu juga mempunyai masalah rabun, sekali gus menyebabkan beliau tidak melihat nombor pendaftaran kereta terbabit dengan jelas.
Kata anak warga emas itu, pihaknya juga telah ke ibu pejabat polis daerah untuk menyelesaikan kes itu memandangkan ayahnya perlu membuat laporan berhubung kejadian berkenaan.
“Mohon semua jangan menokok tambah benda yang tidak ada seperti ‘hack device’ atau sebagainya. Ayah saya tidak profesional seperti itu.Yang mana ada video, tolong turunkan sebab benda ini fitnah kepada ayah saya,” rayunya.
Sebelum ini, rakaman CCTV berdurasi 40 saat tular dengan memaparkan kejadian itu hingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial. – KOSMO! ONLINE
The post Bukan cuba samun, bapa salah masuk kereta- Anak appeared first on Kosmo Online.






