
JAKARTA – Seorang pengantin lelaki di Jawa Timur memilih kelainan demi membahagiakan suri hatinya pada hari perkahwinan mereka dengan memberikan sepasang biri-biri jenis Merino kepada pengantin perempuan, lapor laman berita radar kediri.
Pada majlis perkahwinan yang berlangsung Jumaat lalu, Malindo Agus Sutrisno mengejutkan para tetamu di Desa Paringan, Ponorogo apabila membawa dua biri-biri Merino berbulu tebal sebagai hantaran buat isterinya, Wilujeng Sinu Utami.
Kejutan itu bermula daripada minat mendalam Wilujeng kepada ternakan berkenaan, di mana dia kerap berkongsi video comel biri-biri Merino di laman sosial.
Peka dengan hasrat isterinya, Malindo secara senyap-senyap mengembara sehingga ke tanah tinggi Dieng di Wonosobo untuk mencari sepasang biri-biri Merino berkualiti tinggi untuk hari bahagia mereka.
Kehadiran haiwan comel itu di tapak kenduri mencuri tumpuan orang ramai.
Malah, sebahagian tetamu yang hadir pada awalnya menyangka biri-biri itu dibawa untuk disembelih bagi hidangan kenduri perkahwinan.
Sangkaan itu bagaimanapun meleset apabila pasangan pengantin baharu menjelaskan bahawa biri-biri tersebut akan dipelihara dan dibiakkan sebagai simbolik permulaan fasa kehidupan baharu mereka. – AGENSI
The post Bukan emas tetapi biri-biri Merino hantaran perkahwinan appeared first on Kosmo Digital.
