Bukan ingkar titah Agong! AGC jelaskan isu pengampunan bersyarat Najib

LocalPolitics
7 Nov 2026 • 1:39 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Jabatan Peguam Negara (AGC) menafikan dakwaan kononnya pihaknya mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

AGC sama sekali tak pertikai, ketepikan Perintah Pengampunan Bersyarat

Menerusi kenyataan media hari ini, AGC menjelaskan pihaknya tidak pernah mempertikaikan atau berhasrat menggantung perintah pengampunan berkenaan, sebaliknya mahu mendapatkan kepastian undang-undang mengenai pelaksanaan hukuman Najib.

“AGC menegaskan bahawa ia tidak sama sekali mempertikaikan, mengenepikan atau berhasrat untuk menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Jawab dakwaan firma guaman wakili pihak Najib

Menurut AGC, penjelasan itu dibuat susulan kenyataan firma guaman Tetuan Shafee & Co. pada 6 November yang mendakwa Peguam Negara melampaui bidang kuasa, mengingkari titah Agong dan menyebabkan penahanan Najib secara tidak sah.

Walau bagaimanapun, AGC menjelaskan isu sebenar melibatkan kesan undang-undang perintah pelepasan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Najib membayar denda RM50 juta pada 6 November lalu.

Persoalan timbul sama ada pembayaran tersebut menamatkan hukuman penjara dalam kes SRC International atau baki hukuman masih perlu diteruskan menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Keadaan itu turut memberi implikasi terhadap hukuman penjara kes 1MDB yang ditetapkan bermula selepas hukuman SRC International selesai dijalani.

AGC berpandangan kedua-dua kemungkinan berkenaan memerlukan penentuan mahkamah bagi mengelakkan percanggahan dalam pelaksanaan hukuman.

“Mendapatkan keputusan Mahkamah mengenai pelaksanaan sesuatu perintah tidak sama sekali bermaksud mempersoalkan kewibawaan pihak yang mengeluarkan perintah tersebut,” katanya.

Image from: Bukan ingkar titah Agong! AGC jelaskan isu pengampunan bersyarat Najib

Tolak tuduhan cuba ambil alih kuasa Agong

Dalam masa sama, AGC menolak dakwaan bahawa tindakan mendapatkan penjelasan undang-undang merupakan cubaan mengambil alih kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, keputusan segera mahkamah penting bagi memastikan hak Najib terpelihara, selain mengelakkan beliau menjalani tahanan melebihi tempoh sepatutnya sekiranya hukuman SRC International telah selesai.

Image from: Bukan ingkar titah Agong! AGC jelaskan isu pengampunan bersyarat Najib

AGC turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati institusi diraja, kebebasan badan kehakiman dan prinsip kedaulatan undang-undang tanpa mengeluarkan tuduhan yang boleh mengelirukan masyarakat.

Jelasnya, langkah merujuk perkara itu kepada mahkamah bukan bertujuan melengahkan pengampunan, sebaliknya memastikan setiap hukuman dilaksanakan secara sah dan teratur.

Sumber: Facebook Jabatan Peguam Negara, Najib Razak

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved