
Sejak semalam, kenderaan yang dinaiki Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba-tiba menjadi tumpuan hangat warganet. Ini susulan dakwaan sebuah portal automotif bahawa model BMW 7 Series Protection yang sarat dengan spesifikasi keselamatan tinggi itu merupakan kenderaan rasmi baharu PM.
Merujuk kepada dakwaan berhubung penggunaan sebuah kenderaan BMW oleh YAB Perdana Menteri, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) menjelaskan bahawa kenderaan tersebut adalah aset sedia ada milik BIUPA dan bukan kenderaan rasmi baharu YAB Perdana Menteri.
"Kenderaan berkenaan disediakan bagi memenuhi keperluan rasmi negara, khususnya untuk kegunaan Ketua-Ketua Negara dan Ketua-Ketua Kerajaan bertaraf Presiden atau Perdana Menteri sempena lawatan rasmi ke Malaysia, selaras dengan keperluan protokol dan keselamatan antarabangsa."Bagi tujuan itu, kenderaan ini perlu memenuhi spesifikasi keselamatan yang direka untuk menahan ancaman balistik berkaliber tinggi, letupan, serta risiko keselamatan moden termasuk ancaman dron," katanya dalam satu kenyataan.Kenyataan yang sama itu turut menyebut bahawa kenderaan itu dipilih untuk digunakan secara sementara oleh YAB Perdana Menteri atas nasihat dan penilaian keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan kenderaan rasmi YAB Perdana Menteri yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani penyelenggaraan.Sebagai makluman, BMW 7 Series Protection itu disumbat dengan enjin V8 S68 4.4 liter turbo berkembar yang dibantu oleh sistem hybrid ringkas 48-volt. Untuk itu, jentera berkenaan mampu menghamburkan kuasa setakat 530 PS dan tork maksima 750 Nm, di mana kuasa tersebut dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda xDrive.Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 6.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j.





