Kenderaan rasmi PM Anwar, BMW 7 Series Protection versi kalis peluru dan letupan tarik perhatian ramai

PoliticsCars
6 Jul 2026 • 5:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenderaan rasmi PM Anwar, BMW 7 Series Protection versi kalis peluru dan letupan tarik perhatian ramai Image from: Kenderaan rasmi PM Anwar, BMW 7 Series Protection versi kalis peluru dan letupan tarik perhatian ramai hamden06/07/2026 - 17:24 Gambar/ paultan.org

KUALA LUMPUR 6 Julai - Kemunculan sebuah BMW 7 Series Protection yang digunakan sebagai kenderaan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika majlis pelancaran Teksi MADANI baru-baru ini mencuri perhatian apabila model berperisai itu dilengkapi pelbagai ciri keselamatan bertaraf tinggi bagi melindungi penumpangnya daripada ancaman tembakan dan letupan.

 

Sekilas pandang, model berkenaan kelihatan seperti BMW 7 Series G70 biasa, namun pemerhatian lebih teliti menunjukkan ia memiliki bingkai cermin hadapan dan tingkap yang jauh lebih tebal selain dipadankan dengan tayar khas, sekali gus menandakan ia merupakan varian 7 Series Protection, lapor portal permotoran paultan.org

 

Model itu dibangunkan terus oleh BMW di kilangnya di Dingolfing, Jerman menerusi struktur badan BMW Protection Core, yang menggabungkan keluli panas berperisai sebagai sebahagian daripada struktur utama kenderaan.

 

 

 

 

 

 

Bagi meningkatkan tahap keselamatan, kenderaan itu turut dilengkapi bumbung dan bahagian bawah badan tahan letupan bagi melindungi penumpang daripada ancaman bom tangan dan serangan dron, selain menggunakan cermin keselamatan khas dengan lapisan polikarbonat.

 

BMW turut memasang tangki bahan api jenis self-sealing yang mampu menghalang kebocoran sekiranya ditembusi peluru.

 

Dari aspek mobiliti, model berkenaan menggunakan tayar Michelin Primacy 4 yang dipadankan dengan teknologi PAX Run-Flat, membolehkan kenderaan terus dipandu pada kelajuan sehingga 80 kilometer sejam walaupun mengalami kebocoran tayar.

 

Hasil peningkatan sistem perlindungan itu, BMW 7 Series Protection menerima pensijilan VP9 daripada Persatuan Makmal Ujian Bahan dan Struktur Tahan Serangan Jerman (VPAM) bagi ketahanan terhadap tembakan peluru dan letupan.

 

bmw_pm_1
Tangki bahan api jenis self-sealing menghalang kebocoran bahan api sekiranya ditembusi peluru. - Gambar/ paultan.org

 

Cermin keselamatannya pula memperoleh penarafan VP10, membolehkannya menahan tembakan peluru berkaliber 7.62x54mm R yang lazim digunakan oleh senapang penembak tepat dan mesingan.

 

Model berkenaan juga boleh dipertingkatkan dengan perlindungan tambahan sehingga standard VR10 pada bahagian tertentu.

 

Unit yang digunakan Perdana Menteri dipercayai merupakan versi petrol berdasarkan konfigurasi empat muncung ekzos.

 

Ia dikuasakan enjin S68 V8 4.4 liter pengecas turbo berkembar bersama sistem hibrid ringan 48 volt yang menghasilkan kuasa 530 PS dan tork 750 Nm, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda xDrive.

 

bmw_pm_2
Ketebalan cermin mampu menahan tembakan peluru berkaliber 7.62x54mm R yang lazim digunakan oleh senapang penembak tepat dan mesingan. - Gambar/ paultan.org

 

Walaupun berat tambahan akibat sistem perisai menjejaskan prestasi pecutan, model itu masih mampu memecut dari sifar ke 100 kilometer sejam dalam masa 6.6 saat dengan kelajuan maksimum 210 kilometer sejam.

 

 

 

 

 

 

Bagi memastikan pengendalian kekal stabil, BMW menala semula sistem suspensi selain melengkapkan model itu dengan sistem stereng roda belakang yang membantu meningkatkan tahap kelincahan walaupun beratnya bertambah.

 

Dari segi kemudahan, 7 Series Protection turut dilengkapi lampu amaran biru tersembunyi pada gril hadapan, pemegang bendera rasmi, pintu automatik, tempat duduk pelbagai fungsi berbalut kulit Merino serta bidai tingkap khas yang membolehkan penumpang melihat keadaan di luar tanpa mudah dilihat dari luar.

 

bmw_pm_3
Kenderaan masih boleh dipandu pada kelajuan sehingga 80 kilometer sejam walaupun mengalami kebocoran tayar. - Gambar / paultan.org

 

BMW 7 Series Protection merupakan antara model limosin berperisai paling canggih yang ditawarkan pengeluar automotif Jerman itu dan direka khusus untuk kegunaan ketua negara, ketua kerajaan serta individu berprofil tinggi yang memerlukan tahap perlindungan keselamatan maksimum. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved