Bukan lantikan politik, fokus kebajikan Orang Asli - Marina

LocalPolitics
6 Sep 2026 • 12:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bukan lantikan politik, fokus kebajikan Orang Asli - Marina
Marina (kiri) ketika penyampaian hadiah kepada pemenang Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan di Stadium EduCity Iskandar Puteri.

ISKANDAR PUTERI - Pelantikan Marina Ibrahim sebagai pegawai khas bagi membantu menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli di Johor di Yayasan Sultan Ibrahim Johor bukan lantikan politik.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai itu berkata, tanggungjawab berkenaan diterima dengan penuh rasa rendah diri dan menyifatkannya sebagai amanah besar untuk memastikan kebajikan serta kepentingan masyarakat Orang Asli di negeri ini terus diberi perhatian.

“Saya akan galas satu tanggungjawab yang sebenarnya bukan baharu untuk saya kerana sebelum ini juga terlibat dengan aktiviti kesukarelawanan dan banyak menjalankan aktiviti di kampung Orang Asli ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Karnival Sukan Orang Ali Peringkat Kebangsaan di Stadium Educity di sini pada Ahad.

Sebelum itu, pada acara berkenaan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Marina Ibrahim sebagai Pegawai Khas bagi masyarakat Orang Asli di bawah Yayasan Sultan Ibrahim Johor.

Sementara itu, Marina menegaskan, pelantikan berkenaan tidak seharusnya dilihat dari sudut politik kerana tanggungjawab yang diberikan lebih menjurus kepada usaha membantu memperkasakan kebajikan masyarakat Orang Asli.

“Jawatan ini bukannya satu lantikan politik, sebaliknya atas perkenan Sultan Johor.

“Saya sendiri pun bukan berada mana-mana parti politik buat masa ini," ujarnya.

Marina berkata, amanah berkenaan akan digalas menerusi kerjasama erat dengan agensi kerajaan dan kerajaan negeri bagi memastikan setiap permasalahan yang dihadapi masyarakat Orang Asli dapat ditangani.

“Kita tidak bergerak sendiri tetapi akan bergerak seiring dengan agensi kerajaan di negeri Johor, Exco dan juga kerajaan negeri Johor untuk memastikan kebajikan Orang Asli di Johor dapat dipertingkatkan.

“Kita mahu sama-sama menjaga kebajikan mereka dan memastikan setiap isu yang timbul dapat dicari jalan penyelesaian,” katanya.

Sebelum ini, Marina pernah berkhidmat sebagai ADUN Skudai sejak Mac 2022 selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dengan majoriti 13,943 undi.

Beliau sebelum itu aktif dalam DAP sejak 2017 dan pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kulai pada 2018.

Pada Mei lalu, Marina mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan dan memilih untuk berundur daripada arena politik bagi memberi tumpuan kepada kerja kemasyarakatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved