“Bukan mudah untuk ditelan” – Syed Saddiq Dilihat Sebak Lepas Terima Keputusan Mahkamah

Politics
9 Nov 2023 • 2:42 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dilihat sebak selepas beliau dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun, denda RM10 juta & 2 sebatan oleh pihak mahkamah hari ini.

Dalam sidang media sebentar tadi, Syed Saddiq mengatakan bahawa beliau menerima sebarang kritikan dengan hati yang terbuka sebagai mana dirinya terima keputusan hakim dan mahkamah pada hari ini.

“Saya tidak boleh membezakan diri saya dengan mana-mana rakyat yang lain yang turut diadili di dalam mahkamah, sebab itu saya nak membersihkan nama saya di dalam mahkamah.”

Bagaimanapun, Syed Saddiq akui bahawa keputusan mahkamah itu bukanlah mudah untuk ditelan namun begitu, dia harus akur dan hormati dengan keputusan tersebut.

Selain itu, Ahli Parlimen Muar itu turut berkata bahawa beliau akan memfailkan rayuan menerusi peguamnya dengan kadar segera.

Dalam pada itu, sebagai anak muda, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, beliau tidak akan berhenti lawan dan berpegang kepada prinsip berani kerana benar serta berusaha menegakkan kebenaran biarpun berdepan dengan cemuhan masyarakat.

“Sejak awal menyertai politik, pendirian saya tetap sama iaitu mengubah Malaysia bukan berkisarkan soal personaliti seseorang tetapi memperkasakan institusi rakyat supaya tidak kira siapapun mentadbir atau parti mana, Malaysia tetap akan berada di landasan betul.”

“Untuk menjadi seorang pemimpin yang ingin memajukan negara ke tahap itu, individu terbabit perlu jadi lebih putih daripada putih.”

Berkenaan dengan jawatannya dalam parti, Syed Saddiq berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kempimpinan parti jam 4 petang ini.

Sumber : Harian Metro, X

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.