
KUALA LUMPUR: Pengalaman menganjurkan lapan konsert berskala kecil dan mega menjadi sandaran buat Inteam Records Sdn. Bhd. dalam menguruskan konsert kumpulan nasyid legenda, Hijjaz, bukannya kerana merasakan diri lebih hebat daripada penganjur lain.
Pengarah Urusan Inteam Records Sdn. Bhd., Muhammad Hazamin Harun berkata, setiap penganjuran yang pernah dilalui memberi pengajaran berharga, termasuk berdepan kesukaran menjual tiket serta kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Kalau nak kata kami lebih bagus daripada orang lain, tidaklah. Cuma kami sudah beberapa kali menganjurkan konsert berskala kecil dan besar.
“Kami juga sudah beberapa kali melalui pelbagai kesukaran, melakukan kesilapan dan berdepan situasi tiket sukar dijual.
“Daripada pengalaman itulah kami tahu punca kesilapan. Jadi kami ubah strategi dan cuba laksanakan cara yang lebih selamat serta berkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hazamin yang juga vokalis kumpulan Inteam berkata, pengalaman tersebut memberi keyakinan kepada pihaknya untuk menghasilkan sebuah konsert yang memenuhi jangkaan peminat, lebih-lebih lagi apabila diberi peluang menguruskan persembahan melibatkan Hijjaz yang dianggap sebagai guru kepada Inteam.
Katanya, walaupun Inteam pernah mencipta fenomena apabila menguruskan konsert penyanyi antarabangsa, Maher Zain, yang menghimpunkan puluhan ribu penonton, pengalaman itu tidak pernah dijadikan alasan untuk mendabik dada.
Sebaliknya, setiap penganjuran dianggap sebagai proses pembelajaran bagi memastikan mutu persembahan terus dipertingkatkan.
Mengulas sambutan terhadap konsert Hijjaz, Hazamin berkata, semua tiket berharga RM300 ke bawah telah habis terjual, manakala hanya kira-kira 30 peratus lagi baki tiket bagi kategori RM300, RM350 dan RM450 masih ditawarkan kepada orang ramai.
Dalam masa sama, beliau berkata, konsert berkenaan turut tampil dengan kelainan menerusi segmen khas ‘Rindu Sumayyah’ yang akan menampilkan iringan 37 pemuzik bagi memberikan pengalaman persembahan yang lebih istimewa kepada penonton.
Konsert Hijjaz 3 Dekad Rindu Sumayyah bakal mempersembahkan kira-kira 30 buah lagu merangkumi rangkaian lagu hit, nostalgia, serta karya baharu yang kini sedang dalam peringkat senarai akhir.
Konsert bakal berlangsung pada 16 dan 17 Oktober depan di Istana Budaya.
The post Bukan rasa lebih hebat, pengalaman lapan konsert jadi bekalan Inteam urus Hijjaz appeared first on Utusan Malaysia.




