“Bukan Roti Burger Yang Ditebuk, Tapi Donut Bakar” – Pekerja Gerai Tular

Food
27 Feb 2024 • 12:56 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

“Bukan Roti Burger Yang Ditebuk, Tapi Donut Bakar” – Pekerja Gerai Tular

Baru-baru ini kecoh di media sosial mengenai sebuah gerai di Kelantan yang didakwa kononnya menjual donut palsu.

Seorang individu mendakwa dia telah membeli donut berkenaan dari seorang peniaga wanita di sebuah pasar malam di Bachok, Kelantan.

Menerusi foto yang tular, donut bersalut coklat itu dikatakan diperbuat dari roti burger yang ditebuk.

Selain hantaran berkenaan, turut tular luahan seorang wanita, Fatimah Mulyati yang mendakwa berdepan perkara sama.

Menurut Fatimah, dia telah membeli donut berperisa strawberi itu untuk anaknya di sebuah ekspo di Pantai Irama Bachok pada Sabtu lalu (24 Februari).

Perkongsian gambar-gambar itu nyata menarik perhatian netizen sehingga ada yang mendakwa peniaga berkenaan seperti menipu pelanggan dan tidak berlaku jujur.

Memang donat, tapi ia dibakar

Namun menurut Kosmo, seorang pekerja gerai berkenaan kemudian tampil menyangkal dakwaan orang ramai.

Jelasnya juadah tersebut sememangnya menggunakan donat, namun dari jenis yang dibakar.

“Donut itu bukanlah roti burger yg ditebuk, tetapi memang donat bakar. Doh roti yang dibuat lubang sebelum dibakar.

“Apa yang dikatakan (orang ramai) adalah tidak benar sama sekali,” katanya kepada Kosmo.

Donut biasa digoreng

Sebagai info, donut kebiasaannya digoreng namun ada juga yang menggunakan kaedah pembakaran.

Hasilnya juga dikatakan berbeza di mana tekstur donut yang dibakar akan sedikit kering berbanding donut biasa.

Menerusi carian terdapat beberapa perniagaan yang turut mengusahakan perniagaaan donut bakar ini di Malaysia.