‘Bukan saya hapuskan UPSR, PT3, tapi MP Putrajaya’ – Fadhlina Sidek

LocalPolitics
3 Dec 2024 • 8:21 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Susulan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini berkenaan dengan sebab dan alasan pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), timbul pelbagai spekulasi dan ramai yang mengkritik kenyataan berkenaan.

Menjawab isu berkenaan di Dewan Rakyat juga, Fadhlina menegaskan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu pada tahun 2021 dan 2022 bukan keputusan beliau. Sebaliknya, kata beliau itu adalah keputusan Datuk Dr Radzi Jidin ketika memegang jawatan itu.

“Saya dapati ramai ahli Yang Berhormat (YB) masih berminat isu berbangkit berkaitan peperiksaan. Ramai yang bertanya, menggesa (peperiksaan) mesti dikembalikan dan melihat bagaimana kesannya kepada anak kita khususnya selepas pemansuhan UPSR dan PT3.

“Saya ingin beri penegasan, yang hapuskan peperiksaan bukan saya tetapi Putrajaya (Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin). Saya ambil pendekatan apa yang ada dalam sistem sekarang ini khususnya pentaksiran ini harus diberikan kekuatan, penegasan dan juga (usaha) memperkukuh pendidik kita,” katanya.

Mendengar nama beliau disebut dalam sesi berkenaan, Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin bangun dan mencelah.

“Yang hapuskan peperiksaan adalah Kementerian Pendidikan,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina menjelaskan, keputusan KPM adalah jelas iaitu meneruskan dasar Pendidikan semasa dengan memberikan tumpuan kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).