
Malaysia perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap syarikat yang dikaitkan dengan pembakaran terbuka sehingga menyebabkan jerebu rentas sempadan, termasuk mempertimbangkan sekatan pembiayaan dan tindakan undang undang.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pendekatan diplomatik semata mata tidak memadai sekiranya masalah jerebu terus berulang setiap tahun sehingga menjejaskan kesihatan rakyat, ekonomi dan pendidikan.
Ketika membahaskan Rang Undang Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, beliau membangkitkan percanggahan antara usaha menggalakkan rakyat menjaga alam sekitar dengan masalah pencemaran rentas sempadan yang berulang akibat pembakaran berskala besar di negara jiran.
Menurutnya, rakyat digesa mengurangkan pencemaran dan beralih kepada kenderaan elektrik, namun usaha itu sukar diyakini sekiranya tiada tindakan berkesan terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan jerebu.
Beliau berkata, kesan jerebu bukan sahaja menjejaskan sektor pelancongan, malah turut mengganggu pembelajaran apabila sekolah terpaksa ditutup.
“Apabila sekolah terpaksa ditutup akibat jerebu, kesannya bukan sekadar beberapa hari murid tidak hadir ke kelas. Ia boleh menjejaskan pembelajaran dan memburukkan jurang pendidikan antara golongan berada dengan keluarga berpendapatan rendah,” katanya.
Menurut Syed Saddiq, pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan lebih terkesan kerana tidak semua mempunyai komputer riba, tablet atau capaian internet yang baik untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.
Sebaliknya, pelajar daripada keluarga berkemampuan mempunyai akses kepada kemudahan digital dan kelas tambahan, sekali gus berisiko melebarkan jurang pencapaian pendidikan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menggunakan saluran diplomatik ASEAN dengan lebih tegas, termasuk menghantar nota diplomatik dan membina pendirian bersama negara serantau yang turut terjejas seperti Singapura.
“Kerjasama serantau perlu menghasilkan tekanan yang lebih berkesan terhadap syarikat yang dikenal pasti terbabit dalam aktiviti pembakaran, bukan hanya sekadar mengulangi bantahan setiap kali jerebu berlaku,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan supaya peranan institusi kewangan serantau yang menyediakan pembiayaan kepada syarikat berkaitan turut diteliti.
Katanya, tekanan kewangan boleh menjadi instrumen penting bagi memastikan syarikat bertanggungjawab terhadap kesan operasi mereka terhadap alam sekitar.
Syed Saddiq turut mencadangkan Malaysia meneliti undang undang yang membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat yang menyebabkan atau menyumbang kepada jerebu rentas sempadan, termasuk syarikat tempatan sekiranya terbukti terbabit.
Beliau turut merujuk usaha Greenpeace mengenal pasti syarikat yang dikaitkan dengan isu berkenaan dan menegaskan syarikat Malaysia tidak seharusnya dikecualikan daripada tindakan sekiranya terdapat bukti penglibatan mereka.
Menurutnya, penguatkuasaan perlu dilaksanakan tanpa memilih pihak bagi memastikan komitmen Malaysia terhadap alam sekitar kekal berwibawa.
Selain tindakan kerajaan, beliau menggesa rakyat menggunakan kuasa membeli sebagai tekanan terhadap syarikat yang terbukti terlibat.
Baca juga:Katanya, pengguna boleh menyuarakan bantahan dan mempertimbangkan pilihan pembelian, manakala tindakan tersusun di peringkat serantau berpotensi meningkatkan tekanan terhadap syarikat berkenaan.
“Masalah jerebu rentas sempadan memerlukan gabungan tindakan diplomatik, kewangan, perundangan dan pengguna supaya pihak yang bertanggungjawab tidak terus terlepas daripada tindakan,” ujarnya.





