Bukan sekadar berbuka puasa, pelancaran DINO Series & lagu ‘Raya Lebih Cool' nyanyian Layla Sania dan Ismail Izzani curi tumpuan

LocalFood
14 Mar 2026 • 1:47 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

MENJELANG Aidilfitri, suasana Ramadan bukan sahaja dimeriahkan dengan juadah berbuka puasa, tetapi juga pelbagai acara yang menghimpunkan komuniti dalam suasana santai.

Bagi sesetengah jenama, bulan penuh keberkatan ini turut menjadi peluang untuk berkongsi pengalaman baharu bersama pelanggan melalui aktiviti yang lebih dekat dengan gaya hidup masyarakat.

Baru-baru ini, satu majlis berbuka puasa berlangsung di WFactory, Shah Alam dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

image is not available

Acara tersebut bukan sahaja menjadi ruang berkumpul dan mengeratkan silaturahim, malah turut diserikan dengan beberapa pengenalan produk serta persembahan khas sempena sambutan Aidilfitri yang semakin menghampiri.

Antara yang mencuri perhatian pada malam tersebut ialah pelancaran siri minuman baharu dikenali sebagai DINO Series.

Inspirasi siri ini diambil daripada gabungan elemen koko dan dinosaur, yang diterjemahkan melalui rekaan cawan serta konsep penyajian yang lebih kreatif.

Pendekatan ini dilihat cuba membawa kelainan kepada pengalaman menikmati minuman, khususnya dalam kalangan generasi muda yang gemar sesuatu yang interaktif dan menarik perhatian.

image is not available

Selain itu, suasana majlis turut diserikan dengan pelancaran sebuah lagu raya berjudul Raya Lebih Cool yang dipersembahkan oleh penyanyi muda Layla Sania dan Ismail Izzani. Persembahan mereka memberikan sentuhan ceria kepada acara berbuka puasa tersebut, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan suasana Ramadan.

Menurut Pengurus Besar MOMOYO Malaysia, Alex Tan, kerjasama serta kempen yang dianjurkan bukan sekadar memperkenalkan produk semata-mata, tetapi juga bertujuan mencipta pengalaman yang lebih bermakna kepada pelanggan.

“Melalui produk yang kreatif dan pendekatan yang lebih menyeronokkan, kami berharap dapat membawa lebih banyak kegembiraan kepada pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut menyelitkan elemen tanggungjawab sosial apabila sumbangan sebanyak RM1,888 disalurkan kepada organisasi SHUT (Stop Human Trafficking).

image is not available

Sumbangan itu bertujuan menyokong usaha organisasi berkenaan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu pemerdagangan manusia.

Langkah seperti itu dilihat sebagai usaha kecil tetapi bermakna dalam mengingatkan masyarakat bahawa sambutan perayaan juga boleh disertai dengan keprihatinan terhadap isu kemanusiaan.