Bukan Sekadar Guna AI, Belanjawan 2027 Mahu Lahirkan Lebih Ramai Pencipta Teknologi Tempatan Menjelang 2030

LocalTechnology
10 Nov 2026 • 10:40 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

ANA 13

Teknologi kecerdasan buatan (AI) kini semakin dekat dengan kehidupan seharian kita. Daripada membantu menyiapkan tugasan, mencari maklumat sehinggalah memudahkan urusan kerja, penggunaan AI semakin menjadi sebahagian daripada rutin masyarakat.

Dalam usaha Malaysia menuju Negara AI menjelang 2030, kerajaan bukan sekadar mahu rakyat menjadi pengguna teknologi. Sebaliknya, lebih banyak bakat tempatan perlu diberi peluang dan kemahiran untuk menghasilkan teknologi serta penyelesaian AI sendiri.

Seiring dengan pengumuman Belanjawan 2027, Kementerian Digital kini melipatgandakan usaha membangunkan ekosistem bakat digital dan AI tempatan supaya rakyat serta ekonomi negara dapat meraih manfaat maksimum daripada perkembangan teknologi ini.

Malaysia Mahu Bergerak Daripada Pengguna Kepada Pencipta Teknologi

GOBIND SINGH DEO

Selaras dengan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030, pembangunan bakat tempatan menjadi antara fokus utama dalam merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kementeriannya memainkan peranan penting dalam menyatukan kekuatan kerajaan, industri, akademia dan komuniti bagi memperkukuh ekosistem digital serta AI negara.

Menerusi sokongan Belanjawan 2027, tumpuan diberikan kepada usaha melengkapkan bakat tempatan dengan kemahiran bertaraf dunia supaya mereka bukan sekadar memahami teknologi, malah mampu membangunkan aplikasi dan penyelesaian buatan Malaysia.

“Matlamat kita ialah untuk menghasilkan lebih banyak teknologi tempatan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, tetapi turut memenuhi keperluan negara dan berpotensi menembusi pasaran lebih luas.”

Lima Agensi Digerakkan Untuk Perkukuh Ekosistem Digital Negara

TEKNOLOGI AI

Bagi memastikan usaha ini berjalan dengan lebih tersusun, Kementerian Digital turut menyelaras hala tuju serta menghubungkan agensi dan rakan ekosistem yang terlibat.

Antaranya termasuk GovTech Malaysia yang memacu inovasi selain pembangunan penyelesaian digital sektor awam menerusi pendekatan menyeluruh kerajaan (Whole-of-Government), termasuk mengenal pasti keperluan sebenar agensi, membangunkan prototaip, menguji dan melaksanakan penyelesaian digital serta AI merentas agensi.

Selain itu, Jabatan Digital Negara (JDN) turut digerakkan bagi memperkukuh tadbir urus dan penyelarasan pendigitalan sektor awam melalui penyediaan dasar, piawaian, seni bina digital serta sokongan teknikal bagi memastikan sistem kerajaan lebih selamat, bersepadu selain  boleh saling berhubung.

Dalam pada itu, kalau korang nak tahu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) juga turut terlibat dalam menyokong pertumbuhan syarikat digital dan pembangunan industri, selain membantu pengkomersialan inovasi serta membuka peluang pasaran lebih luas kepada syarikat teknologi tempatan.

“Kerajaan turut menggerakkan MyDIGITAL Corporation untuk membina laluan pembelajaran dan penglibatan rakyat menerusi pelbagai inisiatif seperti Rakyat Digital, Global Learning Pass, AI untuk Rakyat dan Rakyat Builders.

“Selain itu, AI Malaysia Berhad turut terlibat dalam melaksanakan agenda AI kebangsaan serta membangunkan ekosistem AI yang selamat, dipercayai dan bertanggungjawab.” 

Kerjasama Industri Dan Universiti Turut Diperkukuh

Selain peranan agensi kerajaan, Kementerian Digital juga bersedia memperluas kerjasama dengan syarikat tempatan, syarikat pemula, universiti, penyedia latihan dan komuniti teknologi.

Kerjasama ini merangkumi penyediaan kepakaran, penyelidikan, pembangunan produk serta program pemindahan ilmu bagi melengkapkan ekosistem digital negara.

Usaha ini penting supaya pembangunan bakat dan teknologi tempatan tidak hanya tertumpu kepada pengetahuan teori, sebaliknya turut membuka ruang kepada penghasilan produk serta penyelesaian yang boleh digunakan dalam kehidupan sebenar.

Antara matlamat yang ingin dicapai termasuk melahirkan lebih ramai pencipta teknologi bernilai tinggi, meningkatkan daya saing syarikat tempatan serta memastikan tadbir urus AI dilaksanakan secara selamat dan beretika.

Jelaslah, aspirasi Malaysia sebagai Negara AI bukan hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi yang digunakan, tetapi juga keupayaan rakyat tempatan untuk membangunkan dan menghasilkan teknologi sendiri.

Sumber: Siaran media Kementerian Digital

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved