
Pelabelan kuil Hindu sebagai “kuil haram” secara semberono di media sosial disifatkan sebagai mengelirukan dan tidak berpaksikan fakta, khususnya apabila ia mengabaikan sejarah kewujudan banyak kuil sejak zaman penjajahan British.
Ketua Cabang KEADILAN Kuala Selangor, Thiban Subbramaniam, berkata majoriti kuil berkenaan telah wujud sejak era ladang ketika pentadbiran British dan dibina secara sah mengikut konteks zamannya.
Menurut beliau, masalah yang timbul hari ini bukan berpunca daripada pembinaan haram, sebaliknya kegagalan kerajaan terdahulu menyelesaikan isu pewartaan dan pemberimilikan tanah secara tuntas.
“Kuil-kuil ini wujud secara sah pada ketika itu, namun sehingga hari ini masih berdepan masalah pemilikan tanah akibat kegagalan kerajaan terdahulu menyelesaikan isu pewartaan dan pemberimilikan tanah secara tuntas.”
Kegagalan pentadbiran lalu menyebabkan banyak kuil lama terus berdepan ketidakpastian status tanah hingga membuka ruang kepada salah faham serta manipulasi isu agama di ruang maya. Situasi itu, tegasnya, tidak wajar ditangani melalui kecaman atau hasutan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.
Baca juga:
Bapa kepada empat anak didenda RM1,500 curi susu tepung
Kanak-kanak dua tahun ditemui maut ditinggalkan dalam kereta
‘Tak payah bela, kita import saja’ – MP Sabak Bernam cadang import daging babi
Bagaimanapun, Thiban menegaskan bahawa pendirian tersebut tidak boleh disalah tafsir sebagai mempertahankan pembinaan kuil baharu tanpa kebenaran. Sebarang pembinaan rumah ibadat di atas tanah persendirian atau tanah kerajaan tanpa kelulusan serta tanpa asas sejarah tidak wajar dipertahankan dan perlu ditangani mengikut peruntukan undang-undang.
“Saya menegaskan tidak wajar mempertahankan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab membina kuil baharu di atas tanah persendirian atau tanah kerajaan tanpa sebarang kebenaran dan tanpa bukti sejarah kewujudan kuil tersebut.
“Mana-mana pembinaan baharu yang tidak mempunyai asas sejarah berkaitan penempatan ladang perlu disiasat dengan teliti dan tindakan sewajarnya hendaklah diambil mengikut undang-undang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan menggubal satu garis panduan nasional yang jelas melibatkan pemutihan status kuil sedia ada, kawal selia pembinaan baharu serta pengurusan rumah ibadat bagi mengelakkan kekeliruan berulang.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mempertimbangkan penubuhan satu Jawatankuasa Khas melibatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, wakil rumah ibadat dan pakar perundangan bagi menyelesaikan isu kuil dan tanah secara menyeluruh serta berkeadilan.
Menurutnya, kestabilan negara hanya dapat dipelihara apabila isu sensitif ditangani secara berfakta, berhemah dan berpaksikan undang-undang, bukan melalui sentimen atau provokasi.
Sumber: Suara Keadilan
The post ‘Bukan semua kuil dibina secara tidak sah, majoriti bersejarah sejak zaman penjajahan British’ – Thiban appeared first on The Reporter.

