'Bukan senang Ara Aziz terima orang baharu.' Puteri Lily kembali bergelar isteri selepas tiga tahun

EntertainmentLifestyle
20 Feb 2026 • 10:13 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

PELAKON Puteri Lily Lokman kembali bergelar isteri selepas tiga tahun menyandang status ibu tunggal dan menyifatkan keputusan untuk berkahwin semula bukan sesuatu yang mudah dilakukan.

Puteri Lily sah menjadi isteri kepada jejaka pilihan, Azri Musa pada 14 Februari di Kampung Subang Baru, Shah Alam. Berkongsi khabar gembira itu menerusi hantaran di Instagram, pelakon berkenaan mengakui tempoh tiga tahun membesarkan anak sendirian menjadikannya lebih berhati-hati dalam membuat keputusan berkaitan kehidupan peribadi.

Menurutnya, bukan sahaja dirinya yang perlu menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut, malah anak perempuannya, Ara Aziz, juga mengambil masa untuk menerima kehadiran insan baharu dalam keluarga kecil mereka.

image is not available

“After 3 years as a single mom, finally I’m taken again. 

"Jujur, bukan senang nak buat keputusan mungkin kerana sudah terbiasa hidup sendiri. Bukan senang juga untuk Ara terima orang baru dalam hidup kami.

"Tapi Alhamdulillah, ALLAH permudahkan semuanya. Jodoh memang datang waktu kita tak sangka,” tulisnya.

Dalam pada itu, Puteri Lily turut memohon doa orang ramai sempena bulan Ramadan agar perjalanan baharu bersama suami serta anak-anak dipermudahkan dan dipenuhi kebahagiaan.

image is not available

“Sempena berkat bulan Ramadan, saya mohon doakan yang terbaik untuk keluarga kecil kami. Semoga perjalanan baru ini membawa bahagia untuk saya dan anak-anak,” titipnya lagi.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada peminat dan rakan selebriti yang rata-rata mengucapkan tahniah serta mendoakan kebahagiaan rumah tangga pasangan berkenaan.

Terdahulu, Puteri Lily pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah terkenal, Aziz M Osman, 63, pada 6 Jun 2010. 

Mereka yang bercerai pada 2023 dikurniakan dua anak, Puteri Nur Azzahra atau Ara Aziz, 15, dan Putera Muhamad Aryan yang kini berusia sembilan tahun.