Bukan Takut Debat Syed Saddiq, Jadual Saya Yang Padat - Abdullah

Politics
14 Nov 2022 • 9:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Abdullah Husin (berkopiah putih) dikhabarkan terlalu sibuk dengan jadual kempen dan terpaksa menolak undangan untuk berdebat. - Gambar oleh Aiman Sadiq

MUAR - Hasrat untuk melihat tiga calon Parlimen Muar berkongsi pentas debat tidak kesampaian apabila calon Perikatan Nasional (PN), Abdullah Husin menolak menghadiri program tersebut, berikutan jadual kempennya yang didakwa begitu padat.

Menurut Abdullah, penolakan itu bukan kerana takut sebaliknya masa dimiliki amat suntuk, apatah lagi tempoh berkempen hanya berbaki kurang lima hari.

“Saya ada  menerima jemputan tersebut  dua tiga hari lepas tetapi saya tak dapat hadir kerana program  kempen yang sudah diatur cukup padat, kita sekarang ini masa sangat terhad.

“Saya menghormati program tersebut tapi saya sudah beritahu pihak penganjur, tidak dapat hadir kerana program saya sudah diatur lebih awal, sebab nak jumpa pengundi seramai mungkin,”katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan mesra di Medan Selera Tanjong Emas, di sini, hari ini.

image is not available
Abdullah sempat berkempen sambil beramah mesra dengan bakal pengundi di Muar. - Gambar Aiman Sadiq

Jelas Abdullah, adalah lebih baik untuk beliau bertemu rakyat secara langsung bagi menjelaskan kepentingan keluar mengundi, berbanding berdebat yang tidak disifatkan tidak membawa sebarang hasil.

“Saya kalau nak berdepan tiada masalah tapi bukan kerana takut tak berani tampil dengan hujah-hujah, tetapi kita kesuntukan masa. Keutamaan saya berjumpa seberapa ramai pengundi.

“Lepas PRU (pilihan raya umum) kita lihat semula. Kalau  sesuai dengan tajuk dan sebagainya kita bersedia,”katanya.

Media sebelum ini menerima jemputan daripada Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk acara Debat Polisi Parlimen Muar.

Selain Syed Saddiq, acara yang dijadualkan berlangsung malam ini turut membariskan Abdullah serta calon Barisan Nasional (BN), Mohd Helmi Latif.

Bagaimanapun, program anjuran Jelajah Demokrasi itu terpaksa dibatalkan selepas menilai aspek keselamatan dan kesejahteraan awam, selain mematuhi saranan pihak berwajib.

Sementara itu, Mohd Helmi ketika dihubungi memaklumkan, beliau tidak menerima jemputan daripada mana-mana pihak, termasuk Syed Saddiq untuk acara tersebut.

image is not available
Gambar oleh Aiman Sadiq

Beliau yang senada dengan Abdullah berkata, ini bukan masa yang sesuai kerana harus turun padang untuk bertemu pengundi di Muar.

“Kita tidak menerima jemputan (daripada Syed Saddiq).

“Saya akan fokus untuk jumpa seramai mungkin pengundi di Muar,” katanya. - Getaran, 14 November 2022