Bukan watak utama, Zizan tetap bangga jadi mekanik dalam ‘Terbang’

LocalMovie
15 Sep 2026 • 1:24 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Bukan watak utama, Zizan tetap bangga jadi mekanik dalam ‘Terbang’

KUALA LUMPUR – Kekaguman sejak kecil terhadap legenda rali negara, Karamjit Singh menjadi sebab Zizan Razak sanggup mengetepikan rasa terkilan apabila hanya ditawarkan watak pembantu dalam filem biografi terbaharu, Terbang.

Pelakon dan pelawak berusia 42 tahun itu berkata, pandangannya berubah selepas membaca skrip dan memahami bahawa naskhah berkenaan dibikin untuk mengangkat perjalanan hidup serta pencapaian Karamjit, bukannya menonjolkan dirinya.

“Asalnya saya ada sedikit terkilan apabila memegang watak pembantu, namun selepas membaca skrip, saya sedar filem ini bukan pasal saya, tetapi mengenai Karamjit Singh.

“Justeru, saya rasa tidak ada sebab untuk menolak kerana beliau ialah wira saya,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem berkenaan, malam tadi.

Dalam Terbang, Zizan membawakan watak seorang mekanik dan menganggap pembabitannya sebagai peluang menyumbang kepada penghasilan filem biografi sukan berasaskan fakta yang masih jarang diketengahkan dalam industri perfileman tempatan.

Menurutnya, Karamjit yang cukup sinonim dengan gelaran ‘The Flying Sikh’ bukan sekadar jaguh rali negara, malah mempunyai reputasi yang dihormati dalam komuniti permotoran antarabangsa.

Kekaguman Zizan terhadap Karamjit juga bermula sejak kecil apabila pernah menyaksikan sendiri aksi legenda berkenaan di Terengganu.

“Saya daripada kecil tengok dia. Dia pernah datang Terengganu buat aksi ngeri dan macam-macam. Dia pernah naikkan nama Malaysia.

“Apabila di litar, beberapa kali saya jumpa dia. Saya tahu, itu bintang Malaysia, tetapi saya tak pernah tegur dia. Saya segan dan hormat,” katanya.

Filem arahan Chiu Keng Guan itu turut menampilkan Irfan Zaini, Jack Tan, Nam Ron, Shweta Sekhon dan Diana Danielle, selain membawa mesej mengenai perpaduan dan kepelbagaian.

Terbang dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 17 September, termasuk menerusi format 4DX.

The post Bukan watak utama, Zizan tetap bangga jadi mekanik dalam ‘Terbang’ appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved