
MEMULAKAN karier sebagai pelawak, Zizan Razak perlahan-lahan mengukuhkan namanya sebagai pelakon berkaliber menerusi kepelbagaian watak yang dijayakannya dalam dunia perfileman tanah air.
Terkini, pemilik nama lengkap Mohd. Razizan Abd. Razak itu teruja apabila dilibatkan dalam filem Terbang. Terbang adalah sebuah naskhah biopik yang mengangkat kisah legenda rali negara, Karamjit Singh dalam mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Memegang watak sebagai seorang mekanik atau foreman, lelaki berusia 42 tahun itu mengakui cabaran utamanya adalah apabila perlu menahan gian serta emosi daripada memandu kereta rali di set penggambaran.
“Cabaran saya adalah kena tahan sabar apabila filem lumba kereta, saya tidak dibenarkan bawa kereta sebab saya foreman.
“Sedangkan dalam realiti saya pelumba, sertai perlumbaan. Tapi cerita ini saya tak boleh bawa kereta.
“Saya hanya main dengan enjin dan minyak selepas itu bagi nasihat sahaja. Saya jadi tertekan dan stres,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas mengenai pemilihan watak utama, anak kelahiran Terengganu itu bersikap terbuka dan tidak ralat meskipun tak memegang watak sebagai pelumba utama filem berkenaan.
“Kalau tanya saya pun, saya rasa kalau diberi pilihan saya rasa Irfan lebih sesuai. Saya tak boleh mementingkan diri nak watak Karamjit.
“Dari sudut penampilan, ketinggian dan jambang dia sama macam Karamjit.
“Walaupun bukan hero, macam mana saya nak menjayakan juga benda ini. Jadi, saya cuba yang terbaik,” ujarnya.
Ditanya sekiranya diberi peluang memegang watak utama dalam filem berunsur perlumbaan, Zizan tidak menolak memandangkan sukan permotoran atau sudah sebati dalam jiwanya.

“Kalau ada peluang untuk jadi watak utama filem motor rali memang nak. Saya memang suka untuk lakukan.
“Memang saya bersemangat dengan filem begitu sebab saya kan terlibat dengan dunia perlumbaan banyak tahun juga,” ujarnya.
Dia bahkan menggunakan pengetahuannya tentang kereta atau motor dalam naskhah berkenaan.
“Kalau saya terlibat, saya boleh nak bercakap tentang terma teknikal. Macam mana perasaan, adrenalin, momentum atau pusat graviti.
“Tak semua orang faham nak bercakap. Mungkin pengarah bukan datang dari dunia perlumbaan, jadi saya tahu nak buat macam mana.
“Walaupun saya watak foreman, saya cuba juga cerita pada bahagian teknikal mengenai kereta,” katanya.

Misai
Bercakap mengenai foreman, bintang filem Polis Evo itu turut berdepan cabaran penampilan baharu apabila diminta menyimpan misai bagi memberi kelainan.
“Saya tak pernah bawa watak bermisai, ini pertama kali. Sepanjang penggambaran filem ini saya macam serabut saja.
“Tak pernah berbulu macam itu, rasa renyahlah sebenarnya. Kadang-kadang bila minum air bersusu, pasti melekat di misai.
“Tapi itu adalah pengorbanan saya untuk filem ini. Pengarah kata tak nak nampak sama dekat tempat lain,” jelasnya.
Namun, Zizan memilih untuk menyimpan misai asli berbanding menggunakan misai palsu bagi mengelakkan gangguan ketika berlakon.
“Lagi geli (misai palsu) kena letak gam, akan ganggu lakonan saya.
“Bila tak original, kalau terkena memang tidak selesa. Jadi saya lebih suka simpan misai,” tutupnya.
Filem arahan Chiu Keng Guan tersebut bakal menemui penonton di pawagam bermula 17 September hadapan. Selain Zizan, Terbang turut dibintangi barisan pelakon seperti Irfan Zaini, Jack Tan, Shweta Sekhon, Diana Danielle dan Nam Ron.
The post ‘Saya pelumba tapi dalam Terbang, tak boleh bawa kereta, stres’ appeared first on Kosmo Digital.




