
LANGKAWI: Cadangan penempatan semula komuniti Bukit Malut yang tertangguh sejak lebih dua dekad kini dilihat penyelesaian terbaik bagi merancakkan pembangunan kawasan itu di samping membentuk imej baharu
Antara syor yang dikemukakan pihak berkaitan ialah menstruktur semula penempatan sedia ada termasuk menjenamakan semula perkampungan itu bagi membentuk imej yang lebih positif untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan merancakkan sektor pelancongan di kawasan tersebut.
Sumber agensi keselamatan berkata, Bukit Malut dianggarkan mempunyai kira-kira 800 unit rumah penempatan atas darat dan 500 unit rumah penempatan atas air ketika ini, sekali gus memerlukan perancangan pembangunan yang lebih tersusun bagi menampung pertumbuhan penduduk.
“Penyusunan semula kawasan dicadangkan perlu dilaksanakan secara terancang dengan memberi tumpuan kepada pemindahan penempatan atas air yang disifatkan tidak lagi sesuai untuk pembangunan jangka panjang.
“Maksudnya, sebarang pembinaan baharu melibatkan rumah atas air tidak boleh lagi dibenarkan bagi mengelakkan pertambahan penempatan tidak terancang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan Bukit Malut bukan penempatan masyarakat Rohingya seperti digembar-gemburkan termasuk dakwaan dihuni seramai 15,000 etnik itu, sebaliknya majoriti penduduknya adalah komuniti Melayu Islam Kedah (MIK) yang mempunyai latar belakang sejarah tersendiri.
Pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) UUM, Prof. Madya Dr. Mohd. Na’eim Ajis berkata, kajian serta data pihak berkuasa menunjukkan kira-kira 92.2 peratus daripada 5,500 penduduk memiliki MyKad.
Sementara itu, sumber sama berkata, kewujudan sebuah pondok polis di Bukit Malut turut dicadangkan bagi memperkukuh aspek keselamatan agar dapat memberi keyakinan kepada penduduk dan pengunjung luar.
“Pada masa sama, usaha memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap Bukit Malut turut disenaraikan sebagai antara keutamaan dalam pelan pembangunan kawasan tersebut,” katanya.
Ujarnya, langkah itu diyakini mampu mengubah imej Bukit Malut daripada sering dikaitkan dengan pelbagai persepsi negatif kepada sebuah komuniti yang lebih tersusun, selamat dan berpotensi untuk dibangunkan. – UTUSAN
The post Bukit Malut perlu wajah baharu appeared first on Utusan Malaysia.



