Bukti Baharu Kes Kematian Pegawai Kadet UTM Diserahkan Kepada Polis

LocalPolitics
30 Aug 2025 • 9:19 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR: Beberapa bukti penting dipercayai berkaitan kes kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, telah diserahkan kepada pihak polis.

Peguam keluarga, Datuk Naran Singh berkata, antara bukti berkenaan ialah pemacu kilat USB (pendrive) mengandungi rakaman perbualan seorang individu yang mendakwa berada di lokasi kejadian.

Selain itu, turut diserahkan fail transkrip perbualan setebal 44 muka surat serta gambar Syamsul Haris Shamsudin sebelum dan selepas kematiannya, memetik laporan Astro Awani.

Rakaman Saksi Didedahkan

Menurut Naran, semua bahan tersebut telah diserahkan kepada Ketua Penolong Pengarah Pendakwaan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fazley Ab. Rahman.

“USB itu mengandungi rakaman ‘individu A’ yang berada di tempat kejadian dan menamakan pihak-pihak yang terlibat. Ia cukup maklumat untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menjelaskan rakaman itu dibuat oleh seorang individu lain tanpa pengetahuan saksi terbabit. Identiti saksi yang digelar ‘individu A’ dirahsiakan atas faktor keselamatan.

Petunjuk Baharu Siasatan

Naran berharap penyerahan bukti berkenaan dapat menjadi petunjuk baharu dalam kes tersebut.

“Kita sudah ada petunjuk, jadi lebih mudah untuk polis menjalankan siasatan,” jelasnya.

Mengulas sama ada individu berkenaan pernah dirakam keterangan sebelum ini, Naran berkata beliau tidak mempunyai maklumat dan menyerahkan perkara itu kepada pegawai penyiasat.

Bedah Siasat Berjalan Lancar

Dalam pada itu, beliau memaklumkan proses bedah siasat berjalan lancar dan pengebumian semula dijangka berlangsung pada petang atau malam ini. – The Malaysian Update

The post Bukti Baharu Kes Kematian Pegawai Kadet UTM Diserahkan Kepada Polis appeared first on The Malaysian Update.