
KUALA LUMPUR - Segala bukti melibatkan salah laku individu tertentu dalam Persatuan Kriket Malaysia (MCA) telah diserahkan kepada Pesuuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dan Unit Anti Rasuah Persekutuan Kriket Antarabangsa (ICC).
Presiden MCA, Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali berkata, bukti yang sama termasuk beberapa dokumen berkaitan akan diserahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Serentak dengan itu, beliau turut mengumumkan penarikan semula peletakan jawatan sebagai Presiden.
Katanya, jawatan tersebut akan terus disandang sehingga tamat penggal atau sehingga PJS dan ICC membuat keputusan rasmi selepas siasatan selesai dilakukan.
“Dari sudut perundangan, kami dimaklumkan bahawa permintaan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi menyingkirkan Exco sedia ada bukan sahaja tidak sah, tetapi dibuat dengan niat jahat, berdasarkan penipuan serta janji kosong.
“Ini adalah satu cubaan terancang untuk merosakkan sistem dari dalam,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi.

Iqbal berkata, bukti yang diterima jelas menunjukkan ada antara pemimpin persatuan di peringkat negeri tidak tahu menahu mengenai EGM yang mahu diadakan.
“Ada juga individu yang dinamakan dalam petisyen EGM tersebut sama sekali tidak menandatangani dokumen berkenaan.
“Ini jelas satu pemalsuan dan manipulasi. Biar undang-undang mengambil alih (salah laku ini). Ini bukan ancaman, sebaliknya perkara yang harus dilakukan,” katanya.
Lebih menjijikkan tegas beliau, ada calon-calon kepimpinan baharu yang tahu mengenai salah laku tersebut, tetapi tetap memilih untuk bersekongkol demi kepentingan peribadi.
“Salah seorang daripada mereka malah sanggup menjadi ‘jurucakap’ kepada penipuan ini. Ia bukan sekadar tidak beretika, tetapi jelas satu pengkhianatan terhadap seluruh komuniti kriket negara.
“Perkara sebegini tidak boleh disenyapkan begitu sahaja. Ia perlu disiasat dan mereka yang bersalah mesti dihukum,” katanya.
Iqbal menarik perhatian, ramai ahli MCA sudah mula muak dengan permainan kotor segelintir individu yang cuba mengambil alih kepimpinan persatuan secara senyap dan penuh muslihat.
“Sokongan luar biasa yang saya terima sejak beberapa hari kebelakangan ini membuktikan perkara berkenaan.
“Suasana sekarang penuh dengan ugutan, tekanan dan taktik kotor – semuanya direka oleh mereka yang mahu merampas kuasa tanpa mengikut proses sah. Saya takkan biarkan kriket Malaysia dicemari,” katanya, berang.
Dalam perkembangan berkaitan, Iqbal turut mencadangkan agar Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan MCA akan datang ditangguh serta-merta.
“Jangan teruskan sebarang pemilihan selagi siasatan belum selesai. Kalau kita teruskan juga, bersedialah untuk bawa kriket Malaysia ke kancah perpecahan dan krisis undang-undang yang akan melumpuhkan segalanya.
“Jangan harap juga siasatan ini akan selesai kalau struktur sekarang masih diganggu oleh orang-orang yang punya agenda peribadi. Siasatan ini memerlukan keberanian dan kerjasama mereka yang tahu kebenaran. Diam sekarang bermakna bersubahat,” katanya.
Getaran sebelum ini pernah melaporkan mengenai kemelut rampasan kuasa dalam MCA, angkara tindakan beberapa individu yang mahu mengambil alih barisan kepemimpinan persatuan.
Komplot itu didakwa didalangi bekas presiden MCA, Mahinda Vallipuram yang mahu kembali memegang tampuk kepimpinan dan Naib Presiden Persatuan Kriket Sarawak, Gordon Chung.
Sumber memberitahu Getaran, Mahinda berdepan masalah untuk mengekalkan kedudukan di peringkat antarabangsa, justeru kedudukan sebagai Presiden bakal membuka ruang untuk beliau mengawal MCA secara langsung.
“Chung juga dilaporkan telah melanggar segala etika dan menukar mesyuarat majlis menjadi perbalahan yang penuh dengan jeritan, yang akhirnya menyebabkan Presiden dan beberapa individu lain bertindak keluar.
“Namun begitu, ada kalangan ‘orang dalam’ memberitahu, mereka yang meletak jawatan ini akan kembali pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan merancang untuk mendedahkan konspirasi serta semua yang terlibat,” katanya. - Getaran, 22 April 2025

